DATUK Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menubuhkan jawatankuasa bersama pemain industri bagi mendapatkan pandangan serta cadangan berhubung isu kenaikan harga bahan mentah.

Menterinya, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata, menerusi sesi libat urus, pemain industri mahu mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan bagi meringankan beban kos operasi yang secara tidak langsung memberi impak kepada harga barangan di pasaran.

Katanya, KPDNHEP dan MAFI kemudian mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) yang secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan saranan dan cadangan daripada kedua-dua kementerian dan sebarang keputusan berkaitan bantuan kewangan kepada pemain industri akan diumumkan MOF.

"Mekanisme penyaluran bantuan fiskal kepada pemain industri antara lain bertujuan supaya sebarang peningkatan yang setakat ini dikesan berlaku hanya di beberapa kawasan dan bersifat terpencil serta mampu ditangani sepenuhnya.

"Peruntukan kewangan yang bakal diberikan kepada pengeluar diunjurkan mampu menyerap lonjakan kos yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh pengguna dan perincian lanjut berhubung usaha ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Selain itu, pemantauan dan pemeriksaan harga barang juga dilakukan secara aktif dan proaktif setiap hari oleh pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDNHEP di seluruh negara untuk memastikan harga barang-barang termasuk sayur berada dalam keadaan stabil," katanya hari ini.

Beliau berkat, KPDNHEP boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Tambahnya, pemantauan yang dilaksanakan mendapati kebanyakan harga sayur masih terkawal dan berbeza mengikut lokasi dan bukan fenomena di seluruh negara.

"Hasil pemeriksaan dan pemantauan yang dilakukan juga mendapati pembukaan semula semua sektor ekonomi menyebabkan berlaku permintaan yang sangat tinggi secara mendadak terhadap barangan seperti telur, ayam dan sayur.

"Peningkatan ini tidak sepadan dengan keupayaan pengeluar barangan berkenaan yang mengurangkan kuantiti pengeluaran semasa pandemik akibat permintaan yang berkurangan.

"Kenaikan harga sayur keluaran tempatan dikesan berlaku di beberapa tempat dan berpunca daripada faktor cuaca, logistik dan peningkatan kos baja serta racun selain isu seperti hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands serta kawasan tanaman sayur sekitarnya didapati turut menjejaskan rantaian pengedaran, terutama bagi sayur dari tanah tinggi itu.

"Selain itu, kesukaran mendapatkan tenaga kerja menyebabkan hasil tidak dapat dikeluarkan secara maksimum mengakibatkan bekalan berkurangan yang akhirnya menyumbang kepada punca kenaikan harga sayur di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 10:31 AM