Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperhalusi pemberian suntikan vaksin influenza secara percuma kepada warga emas seperti kebanyakan negara lain.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, cadangan itu sebahagian daripada persediaan Malaysia menghadapi negara menua pada 2030.

"Cadangan untuk memberi suntikan percuma bagus untuk memudahkan warga emas berusia 65 tahun ke atas itu (mendapatkan suntikan).

"Itu penting, jika kita lihat golongan itu tidak ramai di Malaysia, mungkin kita akan fikirkan (pertimbangkan percuma). Akan dibawa ke dalam mesyuarat KKM," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Mencegah Influenza pada usia Menjangkau 65 tahun anjuran Program Immunise4life (IFL) di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga meletakkan agenda negara menua sebagai salah satu fokus dalam Kertas Putih Kesihatan.

"Negara kita akan menuju populasi penuaan pada 2030 yang peratusannya dijangka meningkat 14.3 peratus iaitu 5.2 juta berbanding 3.5 juta atau tujuh peratus golongan 65 tahun ke atas daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia.

"Sebab itu pentingnya kita wujudkan lebih ramai pakar geriatrik dan fasiliti khusus untuk golongan itu dan ini juga kita bentangkan supaya menjadi tumpuan lebih dalam Kertas Putih.

"Malah, kita sebenarnya sudah buat persediaan ke arah itu dengan pelaksanaan program saringan kesihatan untuk golongan 40 tahun ke atas di klinik kesihatan.

"Perkara itu akan diteruskan dan diperkasakan seiring dengan hasrat kerajaan menerusi Agenda Malaysia Sihat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IFL, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, suntikan vaksin influenza penting bagi mengurangkan risiko kematian dan tahap teruk kepada warga emas dan berisiko tinggi seperti komorbid.

"Penghidap diabetes adalah enam kali ganda lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital dan tiga kali ganda lebih berkemungkinan untuk mengalami kematian akibat komplikasi influenza serta boleh memburukkan lagi keadaan diabetes seseorang.

"Malah, ketika melawan jangkitan influenza, tindak balas keradangan badan boleh menyebabkan pembekuan darah, kenaikan tekanan darah dan bengkak atau parut dalam jantung.

"Bagi orang dewasa yang berusia lebih 40 tahun tanpa sejarah penyakit kardiovaskular, keadaan itu boleh mencetuskan serangan jantung atau strok dalam tempoh tiga hari pertama jangkitan influenza.

"Jika individu yang lebih tua mempunyai penyakit arteri koronari, kegagalan jantung atau penyakit jantung yang lain, tahap serangan influenza boleh menjadi terlalu teruk untuk dilawan dan sukar dikawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 2:07 PM