KERJASAMA pelbagai pihak.
KERJASAMA pelbagai pihak.
Nurul Husna Mahmud


SIKAP segelintir ibu bapa enggan mendapatkan vaksin untuk anak bagi mencegah penyakit terutama influenza sebenarnya menafikan hak anak mendapat jaminan kesihatan lebih baik.

Bukan sahaja anak perlu mendapat vaksin influenza, malah seisi keluarga terutama warga emas perlu divaksin bagi membolehkan mereka dilindungi daripada serangan penyakit itu.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori Dr Nurhayati Marzuki berkata, tindakan golongan itu dilihat sebagai ‘menempah’ bahaya serangan influenza yang mendadak tidak sahaja boleh mendatangkan komplikasi serius kepada organ penting tubuh, malah risiko maut.

“Kurang kesedaran dan kefahaman mengenai pengambilan vaksin influenza sebagai langkah pencegahan bukan sahaja untuk anak kecil, malah mereka yang menghidap penyakit serius mahupun warga emas.

“Mungkin sebahagian besar masyarakat berasa selesema dan demam penyakit biasa, tetapi dalam kes influenza, gejala sama boleh berubah menjadi teruk.

“Gejala serangan influenza bermula daripada ringan dan bertukar menjadi teruk atau kritikal dalam tempoh singkat.

“Apabila pesakit berasa seperti tidak dapat bernafas dengan baik bermakna virus mula menyerang paru-paru, diikuti degupan jantung yang pantas dan pada satu peringkat mungkin sudah merebak ke otak dan ketika inilah risiko maut bertambah tinggi,” katanya ketika dalam pelancaran kempen

‘Flu Prevention Is An Act Of Love’ di ibu kota, semalam.

Kempen kesedaran mengenai vaksinasi influenza anjuran Immunise4Life(IFL), Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG) dan Vaksinasi Itu Pelindungan (VIP) itu sebahagian inisiatif pendidikan komuniti skala besar dengan sokongan Kementerian Kesihatan, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) serta Sanofi Pasteur.

Tambah Dr Nurhayati, meskipun program vaksin bukan wajib, ia adalah alternatif terbaik menangani masalah influenza ketika ini.

“Situasi itu boleh menjadi lebih baik jika seisi keluarga mendapat vaksin berkenaan kerana suntikan hanya diperlukan sekali setahun.

“Paling penting adalah wanita hamil mengambil vaksin ini.

“Ia tidak sahaja bagi melindungi diri mereka, tetapi juga bayi dalam kandungan.

“Perubahan fisiologi yang berlaku pada badan ketika hamil menyebabkan sistem imun menjadi rendah dan mereka sasaran mudah apabila virus ini tersebar,

” katanya yang juga menekankan kepentingan vaksin kepada golongan berisiko tinggi seperti pesakit pulmonari obstruktif kronik, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Sementara itu Pengarah Urusan Sanofi Pasteur Malaysia dan Brunei, Camille de Lataillade berkata, vaksin hanya dikeluarkan kepada umum selepas ia dipastikan benar-benar efektif dalam memerangi penyakit selain selamat.

“Meskipun ada pihak mempertikaikan status halal vaksin ini, kami menjamin setiap vaksin melalui proses ‘suci’ dan kawalan terbaik iaitu hanya mengekstrak antigen khusus untuk melawan virus.

“Pelanggan kami di negara Asia Barat melihat vaksin sama perlu diambil kerana penting untuk mencegah penularan wabak sekali gus menjamin kesihatan dan keselamatan orang ramai,” katanya.

Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selain Pengerusi Jawatan Kuasa Teknikal IFL, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:30 AM