KEMATIAN warga emas disebabkan penyakit influenza tinggi.
KEMATIAN warga emas disebabkan penyakit influenza tinggi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 290,000 hingga 650,000 orang mati setiap tahun disebabkan influenza atau flu.

Daripada jumlah itu, kira-kira 90 peratus kematian membabitkan warga emas.

Di Malaysia, satu kajian mendapati penghidap penyakit mirip influenza yang berusia lebih 65 tahun, mempunyai risiko kematian 10 peratus lebih tinggi.

Malaysian Influenza Working Group (MIWG) pada kenyataan menyatakan, flu mempunyai banyak persamaan dengan Covid-19.

Kedua-duanya penyakit berjangkit sistem pernafasan yang merebak melalui titisan air hidung dan air liur serta gejala sama.

"Individu berusia 65 tahun ke atas lebih mudah dijangkiti flu dan mengalami kesannya.

"Ini kerana sistem imun mereka kurang berupaya mengaktifkan sel imun yang diperlukan untuk membunuh virus influenza dalam paru-paru.

"Perubahan berkaitan dengan usia juga berlaku pada tisu penghubung paru-paru dan struktur sangkar toraks," katanya.

Menurutnya, semua faktor ini mengurangkan kemampuan warga emas untuk melawan penyakit sistem pernafasan yang serius.

"Mereka juga lebih mudah menghidap sindrom kesukaran pernafasan akut (ARDS) dan pelbagai lagi komplikasi flu, tetapi yang paling biasa ialah radang paru-paru.

"Vaksinasi flu terbukti dapat melindungi warga emas daripada komplikasi yang teruk.

"Kajian menunjukkan, ia dapat mengurangkan risiko berjumpa doktor disebabkan penyakit flu ialah sebanyak 45 peratus dan mengurangkan risiko radang paru-paru 49 peratus," katanya.

Selain itu, katanya, vaksinasi juga dapat mengelak warga emas dimasukkan ke hospital akibat daripada penyakit ini iaitu sebanyak 45 peratus.

"Ini sekali gus dapat mengurangkan penderitaan fizikal, tekanan emosi, kos rawatan dan bebanan kewangan keluarga.

"Banyak negara di dunia memberikan vaksin flu secara percuma atau subsidi kepada warga emas di bawah program imunisasi nasional (PIN) antaranya Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Australia, New Zealand dan kebanyakan negara Eropah.

"Pengambilan vaksin flu dalam kalangan warga emas di negara ini sangat rendah, tetapi semakin ramai menyedari kepentingannya dengan pelaksanaan kempen seperti Pencegahan Flu, Pengikat Kasih Sejati," katanya.

Jelasnya, semua profesional penjagaan kesihatan digesa menasihati pelanggan agar mengambil vaksin dan meyakinkan mereka mengenai keselamatan serta keberkesanannya.

"Perlu juga dikongsikan manfaat lain vaksin flu terhadap kesihatan seperti mengurangkan risiko kardiovaskular bagi pesakit jantung, penyakit kencing manis dan masalah buah pinggang kronik.

"Anak boleh cuba memujuk ibu bapa supaya menerima suntikan vaksin secara tahunan sebagai langkah pencegahan," katanya.

Katanya, penyakit berjangkit merebak lebih cepat dan meluas di bangunan yang padat penghuni seperti penularan virus Covid-19 di rumah orang tua di United Kingdom.

"Flu juga menimbulkan ancaman serupa, tetapi risikonya boleh dikurangkan melalui pemberian suntikan flu tahunan kepada golongan sangat memerlukan dan terpinggir.

"Malaysia bakal menjadi negara tua maka kita perlu mengatur langkah bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan warga emas di negara ini mencapai sasaran liputan vaksinasi dalam kalangan golongan itu sebanyak 75 peratus seperti dicadangkan WHO.

"Konsep vaksinasi seumur hidup merangkumi vaksinasi flu untuk warga emas dan ia sejajar dengan seruan penuaan sihat sebagai hak untuk semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 6:45 AM