PENGUNJUNG merakamkan gambar bunga pelbagai warna di Floria Diraja Putrajaya 2022. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PENGUNJUNG merakamkan gambar bunga pelbagai warna di Floria Diraja Putrajaya 2022. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Putrajaya: Festival yang mempamerkan pelbagai spesies dan bunga-bungaan serta tanaman hiasan, Floria Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria, Presint 4, di sini, yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga Ahad depan berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, festival yang disambung penganjurannya dua hari selepas tamat pada hujung minggu lalu dilanjutkan lima hari lagi sehingga habis cuti penggal persekolahan bagi memberi peluang kepada orang ramai berkunjung.

Katanya, inisiatif ini diberikan secara percuma kepada pengunjung dan lanjutannya dapat membantu meningkatkan ekonomi peniaga di situ.

"Sehingga semalam (kelmarin), seramai 400,000 pengunjung telah hadir dan inisiatif pelanjutan ini menyasarkan 100,000 pengunjung," katanya pada majlis penutupan Floria Di Raja 2022, semalam.

Bertemakan Floria Hebat dengan orkid sebagai bunga tema, edisi terkini festival itu menghimpunkan kira-kira 10,000 orkid yang dipamerkan dengan lebih daripada 400,000 pokok pelbagai spesies.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 12:47 PM