MENTERI Wilayah, Khalid Abdul Samad (empat dari kanan) bersama Haslinda (dua dari kanan) ketika lawatan ke tapak Royal Floria Putrajaya 2018 di Presint 4, Putrajaya.
MENTERI Wilayah, Khalid Abdul Samad (empat dari kanan) bersama Haslinda (dua dari kanan) ketika lawatan ke tapak Royal Floria Putrajaya 2018 di Presint 4, Putrajaya.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya (FLORIA Diraja Putrajaya) yang membuka tirainya hari ini bukan hanya dikenali sebagai pameran produk pelancongan, malah penanda aras industri landskap dan hortikultur negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB), Haslinda Khalid berkata, penganjuran FLORIA membuka pandangan umum terhadap kepentingan profesion arkitek landskap yang diiktiraf sebagai sains mengubah suai kawasan persekitaran dengan mengambil kira unsur alam semulajadi, tumbuhan serta binaan mengikut perancangan estetik dan teknik menyeluruh.

“Ramai tidak mengetahui bidang ini satu profesion yang menekankan pertalian antara binaan dan alam sekitar.

“Dengan adanya FLORIA, ia membuka peluang dan platform kepada arkitek landskap terdiri daripada badan korporat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian menunjukkan daya kreativiti, kesenian dan profesionlisme masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan menghasilkan taman mengikut tema ditetapkan, antara tarikan FLORIA dengan menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang utama.

“Pertandingan ini menampilkan kategori Taman Korporat dan Kerajaan, kategori Gardens of Malaysia, kategori Designer Garden, kategori Taman Sekolah dan Universiti serta pelbagai kategori diperagakan di International Floral Pavilion.

“Kami menjangkakan himpunan lapan jenis bunga seperti bunga raya, kertas, orkid, heliconia, ros, begonia, lily dan kekwa serta ciri sambutan kemerdekaan akan memberi nilai tambahan kepada hasil taman yang dipertandingkan di mata pengunjung,” katanya.

Katanya, sejak dianjurkan pada 2007, FLORIA berjaya menghimpunkan 43 pereka dari 23 negara sekali gus memberi peluang pereka bunga tempatan mendapat pendedahan seni serta mempelajari teknik terbaru daripada pereka bunga antarabangsa.

“Dengan pendedahan ini, ‘hasil karya’ pereka bunga antarabangsa akan menjadi pendorong kepada pereka bunga tempatan untuk meningkatkan kualiti serta memantapkan lagi rekaan mereka dan secara tidak langsung mengembangkan lagi industri ini.

“Walaupun FLORIA Diraja Putrajaya meraih 10 anugerah namun apa yang membanggakan kami adalah penghargaan dan pujian daripada pengunjung sendiri apabila mereka terpegun dengan hasil karya taman dan rekaan bunga yang dipertandingkan,” katanya.

Acara ikonik ini dibuka kepada lawatan umum mulai hari ini hingga 2 September ini dari jam 9 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9 pagi hingga 12 tengah malam bagi Jumaat hingga Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 12:15 PM