SOON Koh dan Johnicol (kanan) pada sidang media. FOTO Nadim Bokhari
SOON Koh dan Johnicol (kanan) pada sidang media. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi Parlimen Lubok Antu, Dr Johnical Rayong Ngipa akan mengemukakan petisyen bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi itu Sabtu lalu yang menyaksikan beliau tewas dengan majoriti 100 undi.

Dr Johnical yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkelili berkata, beliau amat kecewa dengan keputusan itu yang disifatkannya cukup mengejutkan.

Menurutnya, beliau mendahului sejak awal malah laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) juga mengesahkan beliau memenangi pertandingan empat penjuru itu.

"Namun, sebaik sahaja Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bagi kerusi Parlimen Lubok Antu (Richard Ngumbang) membuat pengumuman rasmi, saya diisytihar kalah dengan hanya 100 undi.

"Saya meminta RO supaya membuat kiraan semula, namun tidak dibenarkan dan itu adalah sesuatu yang amat mengecewakan," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dalam pertandingan empat penjuru itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roy Angau Gingkoi menang selepas mendapat 6,644 undi berbanding Dr Johnical yang memperolehi 6,544 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Jugah Muyang memperoleh 5,360 undi dan calon Bebas, Langga Lias, 746 undi.

Justeru Dr Johnical berkata, beliau memohon agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti semula keputusan bagi kawasan itu.

"Saya mahu SPR merujuk semula berapa jumlah pengundi yang keluar mengundi, berapa jumlah undi rosak dan berapa undi dikembalikan.

"Itu penting kerana jumlah majoriti yang hanya 100 undi itu terlalu kecil dan meragukan," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya akan mengemukakan petisyen dalam tempoh 21 hari selepas PRU-15 bagi membantah keputusan yang sudah diumumkan.

"Laporan polis sudah dibuat oleh pengundi di Lubok Antu berhubung perkara itu dan peguam kami juga sudah bersiap untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 12:52 PM