MUHYIDDIN Yassin (tiga kiri) hadir pada Muktamar Tahunan Pas ke 68 di Kompleks Pas Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir
MUHYIDDIN Yassin (tiga kiri) hadir pada Muktamar Tahunan Pas ke 68 di Kompleks Pas Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noorazura Abdul Rahman

[email protected]

Alor Setar: Perikatan Nasional (PN) sudah mula mengadakan rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan itu kerana menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin dekat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rundingan itu masih berjalan dan ia perlu disegerakan.

"Kita sudah mula rundingan (pembahagian kerusi) tetapi belum selesai. Tapi saya sudah diberitahu untuk disegerakan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pas di Kompleks Pas di sini hari ini.

Ketika ditanya tempoh rundingan itu kata Muhyiddin, ia dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum PRU15 ini.

"Oh tidak boleh bulan…. mungkin hari… boleh selesai okay?" katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai idea kerjasama PN bersama pembangkang, Muhyiddin mengakui perkara itu sukar berlaku.

"Itu cuma nak menunjukkan apa orang kata sebelum ini ada pihak yang mencadangkan kalau boleh mengelakkan pertembungan. Suara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PN iaitu Ketua Pemuda Pas dalam konvensyen. Jadi saya bagi reaksi.

"Tapi saya faham situasinya agak sukar. Jadi apa pun situasi kalau sudah begitu situasinya kita akan menghadapi realiti kalau ada pertembungan, kita akan lawan. Kita bersedia untuk menghadapi tiga penjurukah, empat penjurukah, tidak menjadi masalah pada kita," katanya.

Muhyiddin, berkata pendirian itu juga menandakan sikap keterbukaan Bersatu namun parti tetap mendukung pendirian yang ditetapkan bersama parti dalam gabungan PN itu.

"Kita faham juga akar umbi tidak bersetuju. Tetapi kalau apa pun situasi PN ada pendirian dan apa keputusan yang kita akan buat atau pun telah kita buat adalah berdasarkan musyawarah secara bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 2:17 PM