PEGAWAI JPN Kelantan membuat pendaftaran sijil kelahiran kanak-kanak Orang Asli Batek di Kampung Aring 5, kelmarin. Pix STR RAMLI IBRAHIM
PEGAWAI JPN Kelantan membuat pendaftaran sijil kelahiran kanak-kanak Orang Asli Batek di Kampung Aring 5, kelmarin. Pix STR RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


KEBIMBANGAN ibu bapa Orang Asli Batek, Kampung Aring 5 di Gua Musang apabila anak mereka tiada sijil lahir berakhir apabila urusan dokumentasi itu diselesaikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan.

Dalam kes terbaru, kakitangan JPN terbabit membuat urusan pendaftaran sijil kelahiran kanak-kanak Orang Asli di kampung itu ketika majlis pelancaran Pesta Bunga Batek, kelmarin.

Guru Agama Islam Orang Asli, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Kampung Aring 5, Mohd Fadzli Mahmok berkata, sijil kelahiran diperlukan kanak-kanak Orang Asli Batek itu bagi memudahkan pendaftaran persekolahan mereka.

“Sebelum ini, terdapat puluhan kanak-kanak kaum itu tidak dapat mendaftar untuk sesi persekolahan kerana tiada sijil kelahiran.

“Sebaik perkara itu dimaklumkan kepada JPN Kelantan, ia dapat diselesaikan termasuk bayi baru dilahirkan,” katanya ketika ditemui di Gua Musang, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Kampung Aring 5, Asrul Hussin berkata, sebelum ini ramai kanak-kanak Orang Asli tidak dapat bersekolah kerana tiada sijil kelahiran.

Katanya, walaupun kelas khas murid Orang Asli Batek sudah dibuka di kampung itu tetapi ia hanya untuk mereka yang mempunyai sijil kelahiran sahaja.

“Bagaimanapun, masalah itu sudah selesai dan mereka berusia enam hingga 12 tahun sudah didaftarkan untuk bersekolah di kelas terbabit selepas mendapat sijil kelahiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 4:52 PM