RUSLIN (kanan) menyampaikan sijil kelahiran kepada  Che Mohammad Adam dan adik-beradiknya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
RUSLIN (kanan) menyampaikan sijil kelahiran kepada Che Mohammad Adam dan adik-beradiknya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Hazira Ahmad Zaidi


Rantau Panjang: Seorang ibu tunggal menarik nafas lega apabila empat anaknya memperoleh dokumen sijil kelahiran sekali gus membolehkan mereka mendaftar persekolahan.

Halimah Ahamad, 46, berkata, empat anaknya yang memperoleh dokumen sijil kelahiran ialah Che Nur Alisha Che Amat Mudi, 4; Che Nor Amiera, 6; Che Mohammad Adam, 8; dan Che Nor Shafikah, 10.

Katanya, kemiskinan hidup menjadi faktor utama dia lambat mendaftarkan dokumen sijil kelahiran empat daripada lima anaknya.

"Selain itu, saya juga sukar bergerak kerana tidak mempunyai kenderaan menyebabkan kelahiran empat anak tidak didaftarkan memandangkan suami tidak memberi kerjasama selepas bercerai pada 2018.

"Saya berterima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang banyak membantu dalam proses mendapatkan dokumen sijil kelahiran untuk keempat-empat anak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu Ketua Pengarah JPNM Datuk Ruslin Jusoh menyampaikan sijil kelahiran kepada keempat-empat anak Halimah pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Petai Dusun, Baroh Pial, di sini.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, dokumen berkenaan membolehkannya mendaftarkan anak-anak ke sekolah dan mendapat pendidikan lebih sempurna.

"Selepas bercerai dengan suami, saya tidak bekerja dan bergantung harap kepada bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain dua anaknya yang sudah bekerja.

"Sejak berpisah, empat anak tinggal bersama dengan saya, manakala lima lagi anak berada bersama suami," katanya.

Sementara itu, Ruslin berkata, JPN memahami kesukaran yang dihadapi oleh masyarakat untuk hadir ke pejabat bagi urusan pendaftaran dokumen sijil kelahiran.

"Untuk itu, JPN menyediakan perkhidmatan turun padang yang dikenali sebagai MEKAR yang bertujuan membantu urusan pendaftaran mereka yang berada di pedalaman, golongan kurang bernasib baik dan juga orang kurang upaya (OKU).

"Saya berharap masyarakat dapat memainkan peranan membantu JPN dengan menyalurkan maklumat mereka yang memerlukan perkhidmatan kepada JPN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:46 PM