FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Masyarakat Malaysia dilihat lebih peka dan faham mengenai keperluan pemakaian pelitup muka terutama ketika berada di kawasan yang berisiko tinggi mahupun tumpuan ramai.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, pemakaian pelitup muka seharusnya tidak menjadi isu apatah lagi untuk memansuhkan penggunaannya.

Katanya, tidak salah jika Malaysia turut mengumumkan pemansuhan pemakaian pelitup muka, malah ketika ini ia hanya perlu dipakai di tempat tertentu.

"Pada pandangan saya, lebih baik kita pakai pelitup muka tidak kisah selepas ini kerajaan akan mansuhkan atau pun tidak kerana ia bukan sahaja untuk mengelak virus Covid-19, malah virus lain seperti Influenza dan sebagainya.

"Dengan memakai pelitup muka ia bukan sahaja elak jangkitan Covid-19, tetapi juga jangkitan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan paling penting bagi mengelakkan jangkitan melalui udara.

"Pemakaian pelitup muka ini juga adalah salah satu cara atau prosedur operasi standard (SOP) yang mampu mencegah kita daripada jangkitan virus.

"Namun, individu perlulah memakai pelitup muka yang disyorkan (mampu memberi perlindungan) dan bukan jenis fabrik.

"Pada saya, sama ada perlu mansuh atau tidak, rakyat Malaysia sekarang sudah faham bila mereka perlu memakai pelitup muka atau sebaliknya," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, beliau berkata, tidak semua masyarakat akan berlaku jujur untuk melaporkan sekiranya mereka dijangkiti Covid-19.

"Adakah semua orang yang dijangkiti akan melaporkannya di MySejahtera. Covid-19 tidak pernah hilang atau tinggalkan kita sepenuhnya dan akan sentiasa ada di persekitaran kita.

"Justeru itu, lebih baik kita pakai saja pelitup muka demi kebaikan bersama," katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, MPN sudah meminta Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, melihat kepada keperluan untuk pemakaian pelitup muka sekiranya situasi Covid-19 beransur pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 6:49 PM