DATIN Seri Rosmah Mansor. FOTO Asyraf Hamzah
DATIN Seri Rosmah Mansor. FOTO Asyraf Hamzah
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Usaha Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan prosiding perbicaraan rasuahnya di saat-saat akhir sebelum Mahkamah Tinggi memberi keputusan Khamis ini, gagal.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi hari ini, menolak permohonan baharu dibuat isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion dan membatalkan keseluruhan prosiding dihadapi sejak 2018.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan keputusan itu selepas membenarkan bantahan dibuat Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini, selain menegaskan tiada keperluan untuk menangani merit permohonan itu.

Beliau berkata, pihaknya juga tiada bidang kuasa untuk memberi kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman.

Peguam Kanan Persekutuan mewakili AGC, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi BH mengesahkan keputusan permohonan itu yang memihak kepada pihaknya sekali gus menunjukkan mahkamah menerima hujahan dibuat beliau.

"Keputusan permohonan dimaklumkan menerusi e-mel yang turut disertakan dengan deraf penghakiman. Pihak berkaitan diminta berhujah mengenai isu kos dengan hanya membalas e-mel," katanya.

Rosmah diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader serta Datuk Jagjit Singh.

Pada 11 Ogos lalu, Shamsul berhujah permohonan itu adalah adalah remeh dan menyusahkan, memandangkan sudah terdapat penghakiman yang menyatakan bahawa pelantikan Sri Ram adalah sah.

Katanya, rayuan terhadap keputusan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan cubaan untuk mendengar rayuan itu di Mahkamah Persekutuan, gagal.

Permohonan ini juga adalah penyalahgunaan kuasa mahkamah kerana ia mahu mencabar dalam prosiding sivil, perkara yang sudah diputuskan dalam prosiding jenayah.

Sementara itu, Akberdin berhujah supaya permohonan Rosmah dibenarkan kerana anak guamnya mempunyai kes untuk dibangkitkan dalam semakan kehakiman atas alasan pelantikan Sri Ram tidak sempurna.

Jagjit pula berhujah, permohonan itu bukan difailkan melebihi tempoh kerana isu bagi mencabar pelantikan Sri Ram di Mahkamah Sivil dibangkitkan oleh Mahkamah Persekutuan ketika menyampaikan keputusan pada 27 Mei lalu, iaitu masih dalam tempoh tiga bulan yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Rosmah, 71, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 24 Jun lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) dengan menamakan Peguam Negara, Pendakwa Raya, kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Sebelum ini, isteri Najib itu memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah, namun ditolak dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan terbarunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.

Beliau memohon pengisytiharan fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, pada 8 Julai 2020, yang sepatutnya ditandatangani Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas pemohon adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Pemohon memohon deklarasi bahawa fiat versi kedua bertarikh 11 Mei 2021 adalah tidak wujud memandangkan Thomas dalam bukunya - 'My Story: Justice in Wilderness', yang diterbitkan pada 2021 menyatakan pelantikan Sri Ram adalah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya kes solar.

Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu melalui fiat versi ketiga adalah cacat.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh bagi kes solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah dan terbatal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 7:28 PM