Van sekolah yang digunakan suspek menyeludup diesel ditahan di Jalan Cattleya 3, Miri semalam. FOTO Ihsan Polis Marin
Van sekolah yang digunakan suspek menyeludup diesel ditahan di Jalan Cattleya 3, Miri semalam. FOTO Ihsan Polis Marin
Melvin Joni


Miri: Cubaan lelaki menyeludup diesel menggunakan van sekolah gagal selepas ditahan anggota Unit Risikan, Markas Taktikal Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 di Jalan Cattleya 3, di sini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek yang berusia 33 tahun ditahan pada jam 9.30 pagi semalam dalam Op Kontraban, selepas dilihat mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan mendapati terdapat muatan diesel yang diletakkan di dalam satu tangki besi tambahan dan tiga tong Jerrycan berjumlah 25 liter di belakang van berkenaan.

"Suspek mengaku membawa diesel berjumlah keseluruhan 250 liter itu dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, van dan kesemua diesel bernilai lebih RM16,000 kemudian dirampas dan diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 1:57 PM