GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Miri: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat warga asing di lorong kedai, sebuah pusat beli-belah di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Nanga Chabu berkata, suspek yang berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan di kawasan Pujut Corner jam 11.45 pagi semalam susulan daripada maklumat orang awam.

"Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri telah menemuramah saksi-saksi yang mengenali mangsa bagi mengenal pasti suspek dalam kes ini.

"Hasil daripada temuramah itu mendapati suspek adalah orang yang terakhir bersama-sama mangsa sebelum dia ditemukan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alexson berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat lelaki warga asing di lorong kedai sebuah pusat beli-belah dengan kecederaan pada bahagian kepala, jam 7.30 pagi Khamis lalu.

Katanya, kes pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Miri mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala yang dipercayai dipukul dengan objek keras.

Susulan itu, beliau berkata, kes diklasifikasikan semula dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Alexson meminta individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi Asisten Superintendan Dorairajah Vanaltham di talian 085-433730.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 11:11 AM