MPV Toyota Wish yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27.7 susur ke Jalan Puchong dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), dekat Subang Jaya, hari ini. FOTO Ihsan Polis
MPV Toyota Wish yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27.7 susur ke Jalan Puchong dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), dekat Subang Jaya, hari ini. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Perjalanan dua sahabat ke Putrajaya terbantut selepas mereka meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 27.7 susur ke Jalan Puchong dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 3.50 pagi tadi.

"Kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang dalam perjalanan dari Subang Jaya menghala ke Putrajaya.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, MPV dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang besi sebelah kiri.

"Kemalangan itu mengakibatkan pemandu serta penumpang iaitu seorang lelaki yang juga berusia 21 tahun tersepit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, kedua-dua mangsa berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kemalangan itu turut mengakibatkan MPV terbabit mengalami kerosakan di seluruh kenderaan.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor K Ratnacristinavany di talian 017-9074893 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 2:11 PM