Rosman Shamsudin

Slim River: Penerima Kotak Rezeki pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Takaful IKHLAS melahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana ia meringankan beban golongan sasar untuk menjalani kehidupan seharian.

Penerima bantuan, Mustamam Mat Som, 49, berkata beliau bersyukur selepas nama terpilih sebagai salah seorang penerima bantuan dianjurkan oleh Harian Metro Bersama Takaful IKHLAS.

Katanya, bantuan diterima meringankan beban dan tanggungan dirinya sekeluarga ketika menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Dalam keadaan harga barangan mengalami kenaikan selain isteri saya mengalami ketumbuhan otak serta tiga anak masih bersekolah kadang kala memang agak sukar untuk kami meneruskan kelangsungan hidup.

"Keprihatinan pihak penganjur sudah tentu memberi kelegaan kepada kami sekeluarga yang sememangnya menantikan bantuan seumpama ini bagi mengimbangi kesan kenaikan kos sara hidup dan keperluan harian," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Sementara itu, suri rumah, S Parameswary ,54, pula berkata beliau berterima kasih kepada pihak penganjur yang peka dan prihatin terhadap golongan memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan seharian.

Menurutnya, usaha dilakukan oleh pihak Harian Metro bersama Takaful IKHLAS dengan kerjasama JKM memang seharusnya dicontohi semua syarikat korporat lain di negara ini.

"Hanya ucapan terima kasih yang dapat saya berikan kepada pihak penganjur dan saya mendoakan program ini mampu memberi manfaat dan impak jangka masa panjang kepada pihak penganjur.

"Saya berharap selepas ini ada lagi pihak lain mengambil inisiatif sama seperti pihak penganjur hari ini supaya golongan seperti kami turut dapat menikmati kehidupan yang sempurna," katanya.

SUKARELAWAN Harian Metro membantu mengagihkan Kotak Rezeki pada program Titipan Kasih Harian Metro bersama Takaful Ikhlas. FOTO Hazreen Mohamad
SUKARELAWAN Harian Metro membantu mengagihkan Kotak Rezeki pada program Titipan Kasih Harian Metro bersama Takaful Ikhlas. FOTO Hazreen Mohamad

Bagi warga emas, Abu Hanifah Arifin , 65, dari Kampung Pauh, Behrang pula berkata, beliau turut bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur atas sumbangan berkenaan.

"Bantuan ini amat besar ertinya dan bermakna kepada saya sekarang yang tinggal seorang diri untuk menjalani kehidupan hari tua," katanya.

ABU Hanifah Arifin. FOTO Hazreen Mohamad
ABU Hanifah Arifin. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 8:03 PM