GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuching: Kerajaan Sarawak tidak bercadang untuk menghentikan kadar tambang rata RM1 bagi bas henti-henti di semua bandar di negeri ini, kata Menteri Pengangkutannya Datuk Seri Lee Kim Shin, semalam.

Katanya, kerajaan negeri mahu menggalakkan penduduk kawasan bandar dan pengunjung ke negeri ini menggunakan perkhidmatan bas itu bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah kerajaan negeri bercadang untuk menamatkan kadar tambang rata itu yang diperkenalkan pada 18 Mei 2020, iaitu ketika pandemik COVID-19 sedang memuncak, susulan keadaan yang kini beransur pulih.

Terdahulu, beliau menyerahkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang 8.0 (BKSS 8.0) sebanyak RM500 secara sekali bayar kepada 66 pengusaha bot yang beroperasi membawa pelancong di sekitar kawasan Bako dan Terminal Penumpang Bako.

Menurutnya, bantuan itu bertujuan meringankan beban pengusaha bot iaitu perkhidmatan mereka adalah satu komponen tarikan untuk pelancong yang ingin mengunjungi Taman Negara Bako.

"Penggunaan bot juga lebih senang bagi membawa pelancong melihat pelbagai spesies haiwan liar seperti buaya dan binatang lain di kawasan ini," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 9:52 AM