ANTHONY Loke (tengah) menyaksikan Azlan Shah (duduk kiri) dan wakil Syarikat Pengangkutan Maju Sdn Bhd Mat Salleh Hassan menandatangani dokumen ISBSF. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ANTHONY Loke (tengah) menyaksikan Azlan Shah (duduk kiri) dan wakil Syarikat Pengangkutan Maju Sdn Bhd Mat Salleh Hassan menandatangani dokumen ISBSF. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Siti A’isyah Sukaimi


MULAI tahun ini, kontrak bagi pengendalian bas henti-henti ditetapkan untuk tempoh dua tahun berbanding setahun, sebelum ini yang dilaksana menerusi Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan bersetuju mengenakan kontrak begitu untuk pengendali bas lebih berkeupayaan dalam mengurus kewangan sekali gus menambah baik perkhidmatan ditawar.

Katanya, ia termasuklah menyediakan bas baharu dan menambah laluan.

“Setiap tahun pengendali akan tertunggu-tunggu untuk memperbaharui kontrak berkenaan tanpa mengetahui sama ada kerajaan akan meneruskan program ini atau pun tidak.

“Untuk menambah baik perkara ini, buat pertama kalinya kerajaan menyediakan kontrak bagi tempoh dua tahun kepada pengendali dan ia komitmen kerajaan terhadap pengendali bas henti-henti untuk terus menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian ISBSF di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Azlan Shah Albakri.

Beliau berkata, melalui perjanjian itu, sebanyak 52 syarikat bas henti-henti dikenal pasti memenuhi syarat permohonan ISBSF, dengan kerajaan memperuntukkan RM220 juta untuk program itu.

Katanya, lebih 350 laluan bas henti-henti di seluruh Semenanjung akan mendapat manfaat daripada program ISBSF dan sebahagian besar jajaran laluan merentasi bandar kecil, pekan dan kampung.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, kontrak itu berkuat kuasa Januari 2019 hingga Disember 2020 dan pengusaha boleh membuat tuntutan bayaran untuk tempoh Januari hingga Jun, bermula hari ini.

“Kita akan proses permohonan yang dihantar dan dijangka pembayaran akan dibuat pada pertengahan Ogos,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 12:00 PM