GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Cubaan seorang lelaki memeras ugut pemilik kedai runcit di Pandan Perdana untuk membayar wang perlindungan RM100 mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

Difahamkan, suspek berusia 41 tahun bekerja sebagai buruh itu tinggal berhampiran kedai runcit terbabit mencuba nasib dengan memeras ugut lelaki berusia 64 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian 6 petang Sabtu lalu, mangsa berada di kedai didatangi suspek seorang diri yang meminta untuk membayar wang bulanan RM100 sebagai wang perlindungan.

"Suspek turut mengugut akan rosakkan barangan kedai milik mangsa, malah sewaktu kejadian, suspek turut menendang barangan milik kedai dan menggugut akan datang memukul mangsa di kemudian hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa, polis mengesan suspek sebelum menahannya pada jam 12.05 tengah malam di Pandan Perdana.

"Suspek mempunyai lapan rekod lampau dalam kesalahan jenayah dan dadah.

"Turut dirampas, sebuah telefon bimbit untuk membantu siasatann," katanya.

Katanya, suspek direman empat hari sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 9:59 AM