GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kanak-kanak perempuan lima tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya yang diparkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan hospital berkenaan, pada 8.01 malam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah taska yang berdekatan, kira-kira 2 petang.

"Semasa ditinggalkan, mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu yang berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi suaminya, pada 6 petang.

"Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan pada 2 petang semalam.

Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak mereka semasa pulang dari sekolah atau taska terutamanya yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang.

"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini bolehlah menghubungi Inspektor Mohd Syer Aidid Rusazman Sharan di talian 013-6544996," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 7:58 AM