Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Buruh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana mengugut mahu menyebabkan kematian adik perempuannya.

Keputusan itu dibuat Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas tertuduh, Ashimatuddin Ali, 33, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah untuk menyebabkan kematian terhadap adik perempuannya berusia 28 tahun sehingga menimbulkan ketakutan terhadap mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah pada 5.10 petang, 17 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Dalam kejadian itu, tertuduh dikatakan bertindak sedemikian selepas mangsa enggan meminjamkan motosikal miliknya.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh naik angin dan mengugut mahu menyebabkan kematian adiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 3:16 PM
Tertuduh, Ashimatuddin Ali, 33, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mengugut mahu menyebabkan kematian adik perempuannya. FOTO GHAZALI KORI
Tertuduh, Ashimatuddin Ali, 33, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mengugut mahu menyebabkan kematian adik perempuannya. FOTO GHAZALI KORI