SHARIF membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood. FOTO Ghazali Kori
SHARIF membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut mahu membunuh ibunya.

Tertuduh, Sharif Husin Abdullah, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk membunuh ibunya yang berusia 54 tahun dengan niat menimbulkan rasa takut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kuala Nerus, jam 12.01 malam pada 8 Januari lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya 1952 dijatuhi hukuman penjara 60 bulan dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menghisap dadah.

Selain itu, tertuduh turut dipenjara lima bulan di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi iaitu sebuah tong gas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 5:03 PM