Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Empat lelaki bukan saja berselindung di sebalik penjualan rokok seludup malah turut menawarkan pinjaman wang tanpa lesen atau along.

Kegiatan yang beroperasi di dua rumah di bandaraya ini terbongkar selepas premis berkenaan diserbu polis pada 17 Ogos lalu dan semalam.

Dalam serbuan itu, kumpulan yang dipercayai mula bertapak pada Julai lalu menyasarkan pinjaman kepada golongan peniaga kecil dan individu perseorangan yang menjadi stokis rokok seludup.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) melakukan serbuan di sebuah rumah jam 5.30 petang 17 Ogos lalu sebelum menahan empat suspek berusia 26 hingga 34 tahun.

Beliau berkata, pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM86,405 dan 600 karton rokok yang dipercayai diseludup bernilai kira-kira RM34,200.

"Hasil soal siasat terhadap empat suspek yang berasal dari Selangor itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah kediaman di bandar raya ini kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum polis merampas 26 lagi karton rokok dipercayai diseludup tanpa cukai.

WAN Rukman (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas polis. FOTO Ghazali Kori
WAN Rukman (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas polis. FOTO Ghazali Kori

"Dalam operasi ini, kita merampas wang tunai, rokok, telefon bimbit dan sebuah Toyota Fortuner dengan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM300,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Wan Rukman berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 26 tahun dipercayai menjadi suspek utama yang menjalankan menawarkan pinjaman wang tanpa lesen.

Katanya, suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau iaitu di bawah Akta Rumah Judi Terbuka dan Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) manakala tiga yang lain menjalankan perniagaan rokok untuk pasaran sekitar Kuala Terengganu.

"Mengenai perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen, suspek dikatakan mempromosikan perkhidmatan kepada pelanggan yang hadir ke premis mereka.

"Berdasarkan siasatan awal, terdapat antara 10 hingga 15 senarai nama individu yang membuat pinjaman daripada mereka.

"Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 18 Ogos lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 (2) APPW 1951 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 10:39 AM