Ahmad Hasbi


Seremban: Tindakan melampau apabila tular video menunjukkan seorang lelaki bertindak membelasah pekerja sebuah kilang menggunakan kayu berulang kali.

Tiga rakaman kejadian berkenaan tular di laman sosial sejak kelmarin mendakwa suspek yang juga majikan memukul pekerjanya di sebuah kilang di Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya membuat laporan polis.

"Polis mengesan video kejadian ini sejak petang kelmarin yang mendakwa seorang pekerja kilang dibelasah majikannya sehingga lebam pada badan.

"Jika ada mana-mana pihak atau individu yang tahu mengenai kejadian itu terutama perakam, mereka diminta hadir ke balai polis untuk membuat laporan. Kami akan menjalankan siasatan," katanya tadi.

Dalam video pertama dan kedua kelihatan dua lelaki yang memakai baju putih dengan salah seorang daripadanya memegang objek dipercayai kayu.

Lelaki itu dilihat beberapa kali memukul pekerjanya di bahagian badan sebelum pekerja itu dirakam cuba menyelamatkan diri, namun dikejar dan terus dipukul.

Dalam video ketiga menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan video pertama serta kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 3:53 PM
Tangkap layar kejadian pekerja dipukul majikan di sebuah kilang di daerah ini yang dirakam dan tular sejak kelmarin. Foto tular
Tangkap layar kejadian pekerja dipukul majikan di sebuah kilang di daerah ini yang dirakam dan tular sejak kelmarin. Foto tular