PETIKAN video kejadian pekerja didakwa dipukul majikan yang tular.
PETIKAN video kejadian pekerja didakwa dipukul majikan yang tular.
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berkaitan dakwaan lelaki dipercayai pekerja kilang dipukul majikannya seperti tular di media sosial.

Tiga rakaman kejadian berkenaan yang tular di laman sosial sejak kelmarin yang mendakwa majikan memukul pekerja dipercayai menggunakan kayu, namun tiada pihak yang tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya membuat laporan polis.

"Polis mengesan video kejadian ini sejak petang kelmarin yang mendakwa seorang pekerja kilang yang dibelasah majikannya sehingga lebam pada badan.

"Jika mana-mana pihak atau individu yang tahu mengenai kejadian, terutama perakam, diminta hadir ke balai polis untuk membuat laporan dan kami akan menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi.

Dalam video pertama dan kedua, kelihatan dua lelaki memakai baju putih dengan seorang daripadanya memegang objek dipercayai kayu.

Lelaki berkenaan dilihat beberapa kali memukul pekerjanya di badan sebelum pekerja itu dirakam cuba menyelamatkan diri, namun dikejar dan terus dipukul.

Dalam video ketiga menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan video pertama serta kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 1:10 PM