Balqis Jazimah Zahari

Kampar: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperhalusi tindakan bagi membendung permasalahan dan tingkah laku memuat naik pengisian media sosial yang tidak wajar khususnya dalam kalangan pendidik.

Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya akan melihat dan membincangkan secara lebih mendalam berhubung isu berkenaan.

"Kita akan memperhalusi dan akan mengambil tindakan yang berpatutan berhubung isu berkenaan (pengisian media sosial tidak wajar kalangan pendidik).

"Pelbagai usaha akan sentiasa kita lakukan bagi memastikan kebaikan terhadap pelajar," katanya selepas hadir merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan sekali gus melancarkan Bamboo Pavilion di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengenai isu pengisian tidak bersesuaian yang kini sering dimuat naik pendidik di media sosial ini termasuk kes terbaru yang berbaur seksual.

MAH Hang Soon pada sidang media selepas hadir merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan perasmian Bamboo Pavilion di Dewan Tun Dr Ling Liong Sik, Utar Kampar. FOTO L.Manimaran
MAH Hang Soon pada sidang media selepas hadir merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan perasmian Bamboo Pavilion di Dewan Tun Dr Ling Liong Sik, Utar Kampar. FOTO L.Manimaran

Dr Mah berkata, justeru pendidik dinasihati untuk memanfaatkan media sosial dengan cara yang baik untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak murid dan masyarakat keseluruhannya.

"Apa yang kita bercakap dan muat naik di dalam media sosial ini akan menjadi tatapan khalayak ramai.

"Jadi saya ingin menasihati rakyat kita khususnya kepada para pendidik sentiasa berhati-hati, jadilah contoh dan teladan yang baik kepada anak murid," katanya.

Beliau menegaskan warga pendidik perlu memahami tugasan dan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak murid di sekolah.

"Jadi seelok-eloknya mereka (guru) menjadi contoh dan teladan kepada anak murid.

"Anak murid mempelajari daripada orang dewasa atau guru melalui cara dan tingkah laku yang mereka buat, jadi sangat penting selain daripada ilmu pengetahuan yang disampaikan.

"Sebagai orang terlatih yang bergelar guru, maka mereka hendaklah memahami tugas dan tanggungjawab untuk mendidik dan memastikan anak didik akan menjadi insan baik bukan sahaja daripada segi pencapaian akademik semata-mata tetapi dari segi rohani dan sosial," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial seorang guru praktikal yang memuat naik video Tiktok yang berbaur seksual sehingga mendapat kecaman hebat daripada warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 4:01 PM