Dr Mah Hang Soon  berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MCA Perak di MCA Perak hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Mah Hang Soon berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MCA Perak di MCA Perak hari ini. FOTO BERNAMA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) minta semua pihak tidak memperbesarkan isu guru belum mendapat vaksin Covid-19 yang mendakwa diasingkan secara tidak patut oleh pentadbir sekolah sehingga laporan siasatan mengenai lengkap diperoleh.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ulasan yang dibuat pelbagai pihak tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa selagi mana laporan siasatan belum diketahui.

"Sebab saya rasa kita ada isu lebih besar dari itu iaitu untuk kebajikan semua pihak khususnya murid dan pada masa sama guru terbabit.

"Kita tak mahu keruhkan keadaan. Saya berasa baik kita tunggu laporan daripada pihak yang berkenaan. Tahulah nanti ada sahaja kumpulan tertentu yang berpandangan lain, nanti keadaan jadi lebih keruh sedangkan apa yang kita mahu adalah menjernihkan situasi in.

"Pada saya yang paling elok adalah jangan pula kita uar-uarkan perkara ini," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Konvensyen MCA Perak di Wisma MCA Perak, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan mengenai seorang individu yang mengaku guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael di sini, yang mendakwa diasingkan di stor menyimpan barangan pekerja pembersihan kerana belum menerima vaksin Covid-19.

Perkara itu mendapat pelbagai reaksi netizen apabila guru terbabit meluahkan 'penderitaannya' itu menerusi video berdurasi tiga minit di aplikasi TikTok sebelum turut tular di Facebook.

Menerusi laporan media sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, siasatan sudah dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, manakala KPM juga sudah dimaklumkan mengenainya.

Ditanya mengenai jangkaan laporan siasatan itu diterima, Hang Soon tidak mendedahkannya.

Hang Soon berkata lagi, penjelasan yang diberikan oleh Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin) sebelum ini mengenai keperluan menjaga kebajikan murid serta guru sudah memadai khususnya dalam hal mengenai guru yang belum bersedia mahupun antivaksin.

"(Memandangkan) kerana kita belum kenal pasti apa sebab mereka (guru) tak mahu terima vaksin.

"(Namun) semasa kita hendak jaga kebajikan guru, yang menjadi keutamaan kita jangan pula kita lupa, iaitu kebajikan guru-guru lain yang sudah lengkap divaksin dan kebajikan murid-murid khususnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 6:06 PM