Ahmad Zahid ketika menghadiri Konvensyen Puteri Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH
Ahmad Zahid ketika menghadiri Konvensyen Puteri Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penubuhan Puteri Barisan Nasional (BN) yang diluluskan, hari ini adalah satu pengukuhan penting terhadap kesiapsiagaan parti komponen itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelulusan itu yang akan diabsahkan di mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Ogos ini juga bakal menyaksikan calon baharu dari kalangan Puteri BN diketengahkan di PRU15 nanti.

"Realiti yang ada di hadapan kita jika mahu menang, muka-muka baharu mesti diketengahkan lebih ramai lagi, ini terbukti di PRN Melaka apabila 87 peratus muka baharu dan hasilnya kita menang lebih tiga per empat majoriti.

"Acuan yang kita lihat di PRN Johor dan Melaka itu merupakan acuan yang terbaik dan kita akan lakukan lebih baik daripada itu, kita utamakan "muka-muka segar" sebab tu kita faham bahawa berlaku tsunami politik dalam PRU14," katanya dalam sidang media selepas merasmikan konvensyen Puteri BN, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesiapsiagaan Puteri BN yang menggabungkan sayap belia wanita dalam komponennya seperti Puteri MIC dan Beliawanis (MCA) adalah di tahap optimal sekali gus menunjukkan keseriusan jentera BN dalam mendepani cabaran pilihan raya akan datang.

"Saya lihat dalam kalangan parti-parti komponen BN, keseluruhan usaha untuk memantapkan BN lebih jelas dan tentunya kita harus mengikis perbezaan-perbezaan yang ada di PRU sebelum ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, Ahmad Zahid berkata, perkara itu adalah manifestasi persetujuan semua parti politik untuk memastikan amanah yang diberikan oleh rakyat terhadap pemimpin terus terbela.

"RUU lompat parti itu ialah manifestasi bahawa semua parti politik bersetuju bahawa ia satu usaha untuk mengelakkan amanah rakyat itu 'terburai' apabila kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti," katanya.

Sebelum ini, Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 3:46 PM