RAKYAT berharap wakil dilantik memberi perhatian penuh membangunkan ekonomi negeri Melaka.  FOTO ASYRAF HAMZAH
RAKYAT berharap wakil dilantik memberi perhatian penuh membangunkan ekonomi negeri Melaka. FOTO ASYRAF HAMZAH
Muhammad Saufi Hassan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah melabuhkan tirainya, rakyat sudah memberi mandat kepada calon yang berhak.

Sejauh mana kerajaan yang dibentuk ini mampu memenuhi harapan rakyat terutamanya dalam mendepani situasi pasca Covid-19?

Bagaimana pula dengan konflik politik seperti lompat parti?

Mandat baharu ini seharusnya memberi fokus 100 peratus kepada memenuhi aspirasi rakyat.

Ikuti wawancara Penganalisis Politik yang juga Ketua Kluster Governan dan Integriti Universiti Utara Malaysia (UUM) PROF DR AHMAD MARTADHA MOHAMED bersama wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Kerajaan negeri Melaka akan dibentuk selepas ini. Berdasarkan situasi semasa, apa harapan rakyat kepada kerajaan ini?

Rakyat mengharapkan episod lompat parti akan berakhir dan wakil rakyat yang akan dilantik kelak boleh menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan ekonomi negeri serta membantu rakyat mengurangkan tekanan kesan pandemik.

Isu kesejahteraan rakyat perlu menjadi agenda utama kerajaan. Di samping itu, kestabilan politik perlu diberi perhatian.

Insiden lompat parti atau menarik sokongan kerana haluan politik berbeza perlu dielakkan sama sekali kerana rakyatlah yang selalu menjadi mangsa keadaan apabila wakil rakyat mereka lebih suka 'politiking' daripada melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Jika ada yang tidak puas hati, mungkin akan berlaku 'lompat-melompat'.

Isu lompat parti tidak akan berakhir selagi tidak ada akta yang jelas berkaitan dengannya.

Saya berharap Parlimen dapat menyegerakan untuk membawa dan membahaskan usul rang undang-undang (RUU) lompat parti.

Jika akta ini belum diluluskan, insiden lompat parti akan terus berpanjangan dan kestabilan politik akan sukar untuk dicapai.

Pelbagai janji dalam manifesto. Sekadar 'penyedap' hati rakyat atau semuanya realistik jika dijalankan dengan amanah?

Setiap parti bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menawarkan pelbagai janji dalam manifesto mereka.

Janji ini bukan sesuatu yang baharu, bahkan ia sering dimuatkan dalam manifesto parti yang bertanding.

Apa yang rakyat mahu tahu ialah, apakah janji itu sekadar retorik untuk memancing undi atau akan dilaksanakan selepas mana-mana parti yang bertanding berjaya membentuk kerajaan.

Rakyat sering kecewa kerana manisfesto yang dijanjikan ketika pilihan raya sering diabaikan apabila parti yang dipilih menang dalam pilihan raya.

Satu mekanisme yang jelas perlu dipaparkan untuk rakyat menilai sejauh mana keikhlasan dan kesungguhan wakil rakyat yang mereka pilih untuk menunaikan janji yang dibuat.

PRN Melaka jadi penanda aras kepada parti yang menang serta yang kalah?

PRN Melaka akan menentukan landskap politik baharu negara selepas ini terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pelbagai senario boleh berlaku selepas PRN ini. Antaranya, jika Umno berjaya membentuk kerajaan, apakah kerjasama mereka dengan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat akan dikaji semula?

Kedua, jika Umno gagal membentuk kerajaan, apakah PN akan meneroka penjajaran politik yang baharu?

Senario ini pasti akan memberi kesan kepada kestabilan kerajaan yang ada sekarang.

Keputusan akhir PRN Melaka sudah pasti akan mengubah hala tuju politik Umno dan PN selepas ini.

Apa yang berlaku di Melaka boleh menjadi indikator untuk PRU yang bakal menjelang terutamanya dalam soal blok parti yang bekerjasama.

Keputusan PRN Melaka sudah tentu akan menjadi penentu kepada sebarang bentuk kerjasama di antara PN dan BN terutama Umno.

Kempen yang agresif oleh kedua-dua pihak sebelum hari pengundian menunjukkan hubungan kedua-dua parti gabungan adalah umpama retak menanti belah.

Namun pelbagai kemungkinan boleh berlaku kerana di dalam politik, tidak ada sesuatu yang mustahil.

Apakah keretakan ini menjadi menjadi buruk selepas PRN apatah lagi pelbagai kenyataan sering dikeluarkan oleh pemimpin kedua-dua gabungan berkenaan yang menzahirkan tiada lagi kerjasama yang berlaku selepas ini.

Untuk PRU akan datang, pada jangkaan Prof, apakah isu atau tema utama yang akan dibawakan oleh parti politik?

Pada PRU-15, banyak isu yang akan dibawa oleh parti yang akan bertanding.

Antara yang penting ialah keadaan ekonomi negara (peluang pekerjaan, kenaikan harga barang, rumah mampu milik, bantuan subsidi kepada golongan B40 dan M40), isu pembangunan luar bandar dan kemiskinan, isu sosial (kebanjiran warga asing, peningkatan kadar jenayah, perlindungan kesihatan) dan isu politik (akta lompat parti, kerjasama gabungan politik demi kepentingan sesuatu kaum seperti PN dan Muafakat Nasional).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 7:01 AM