Siti Rohana Idris

Kuala Krai: Sudah berusia 13 tahun namun Puteri Airin Amani Azwadi dari Kampung Hulu Geh, di sini, perlu diuruskan seperti bayi.

Kerap diserang sawan ketika bayi menyebabkan remaja perempuan itu tidak dapat berjalan dan bercakap seperti remaja normal sejak berusia tujuh bulan.

Ibunya, Siti Fatihah Abdul Ghani, 32, berkata, serangan sawan masih dialami anak sulung yang mesra disapa Kak Long itu dan setiap kali berlaku ia mengambil masa yang agak lama ada kalanya mencecah satu jam.

"Dia perlu diuruskan seperti bayi kerana tidak mampu berjalan dan bercakap. Jika inginkan apa-apa kami hanya berkomunikasi dengan bahasa isyarat sahaja contohnya kalau Kak Long sakit perut, dia akan menunjukkan perutnya sambil menangis.

"Ketika bayi, keadaan Kak Long sangat kritikal dan pernah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua bulan malah saya pernah dimaklumkan doktor bahawa bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan Kak Long yang mungkin bila-bila masa saja akan 'pergi'," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarah di samping menyampaikan sumbangan wang zakat.

SITI Fatihah memangku Puteri Airin Amani yang tidak dapat berjalan dan bercakap kerana kerap diserang sawan ketika bayi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hulu Geh. FOTO Siti Rohana Idris
SITI Fatihah memangku Puteri Airin Amani yang tidak dapat berjalan dan bercakap kerana kerap diserang sawan ketika bayi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Hulu Geh. FOTO Siti Rohana Idris

Siti Fatihah berkata, dia reda anak sulungnya tidak normal seperti orang lain kerana menganggap ia satu ujian buat mereka sekeluarga untuk menguji kesabaran dalam menguruskan anak istimewa.

Kata ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, Kak Long juga pernah dibawa berurut namun hanya beberapa kali sahaja disebabkan kekangan kewangan kerana bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan hanya mencukupi untuk perbelanjaan lampin pakai buang serta keperluan Kak Long sahaja.

Dia berkata, suaminya, Azwadi Mamat, 34, hanya bekerja sebagai buruh sahaja dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan dan cukup-cukup makan untuk menyara hidup mereka lima beranak.

"Kami juga hidup menumpang orang tua dan selain saya lima beranak, abang ipar sekeluarga turut tinggal di sini dan keseluruhannya seramai 12 ahli keluarga.

"Kami berhasrat untuk mencari rumah sewa kerana enggan terus membebankan ibu mentua yang dalam usia yang sudah tua, masih perlu keluar menoreh getah dan membuat ketupat palas untuk membantu ringankan beban anak menantu," katanya.

Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Siti Fatihah di talian 019-9434294.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 12:54 PM