- Foto hiasan
- Foto hiasan
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 19 September depan untuk sebutan semula kes dihadapi pencuci kapal yang didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya, bulan lalu.

Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim menangguhkan kes itu selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki yang memaklumkan memerlukan masa kira-kira sebulan lagi.

Terdahulu, Muhammad Arif memberitahu mahkamah pihaknya masih belum memperoleh laporan kimia, laporan bedah siasat dan laporan psikiatri tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd Adam, 24.

"Hari ini ditetapkan untuk status laporan kimia, bedah siasat dan psikiatri, namun laporan-laporan belum diperolehi. Saya mohon tarikh untuk sebutan semula dalam sebulan," katanya.

Pada prosiding hari ini, tertuduh tidak hadir ke mahkamah, namun dia diwakili peguam Munirah Najihah Shaari yang memberitahu mahkamah bahawa beliau baharu dilantik pihak tertuduh.

Difahamkan, Mohamad Amir Nazri tidak hadir ke mahkamah pada hari ini yang ditetapkan untuk sebutan semula kesnya, kerana masih dirujuk di Hospital Permai bagi rawatan psikiatri.

Turut kelihatan di luar bilik mahkamah adalah keluarga tertuduh dan mangsa.

Pada 18 Julai lalu, Mohamad Amir Nazri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef, dua bulan lapan hari.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di rumah keluarganya dekat Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu di sini, pada 11.30 pagi dan 11.40 pagi, 4 Julai lalu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan insiden menyayat hati apabila seorang lelaki bertindak menggelar leher isteri dan anak tunggalnya sebelum melarikan diri.

Turut tular beberapa video dan gambar memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sejurus selepas insiden itu berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 1:21 PM