Mahdzir Khalid (duduk tengah), bergambar bersama penerima anugerah cemerlang ketika Majlis Anugerah Murid Cemerlang Orang Asli (MAMCOA) 2021 di Hotel Tenera, Bandar Baharu Bangi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mahdzir Khalid (duduk tengah), bergambar bersama penerima anugerah cemerlang ketika Majlis Anugerah Murid Cemerlang Orang Asli (MAMCOA) 2021 di Hotel Tenera, Bandar Baharu Bangi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Amir Abd Hamid


Bangi: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM59.4 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi usaha mendokong dasar pendidikan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jumlah itu merangkumi penyediaan pengangkutan murid ke sekolah, pakaian seragam sekolah, wang saku untuk pelajar sekolah menengah, keperluan diri untuk pelajar yang tinggal di asrama dan pelbagai lagi bantuan bagi pelajar Orang Asli.

"Pendidikan adalah asas dalam usaha kerajaan memperbaiki nasib Orang Asli. Ini menunjukkan bahawa tiada satu pun dalam kalangan Keluarga Malaysia disisihkan oleh kerajaan.

"Mereka turut berhak untuk mendapatkan pendidikan yang sama seumpama warganegara Malaysia yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Orang Asli (MAMCOA) 2021, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Sapiah Mohd Nor.

Mahdzir turut memaklumkan, atas kerjasama strategik Jakoa-Mara melalui Young Talent Development Programme (YTP), pelajar Orang Asli lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang kini turut berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Selain daripada YTP, terdapat beberapa program di bawah Penganjuran Pelajaran seperti World's Top Universities (WTU), IPMA Excellent Programme (IESP), Graduate Excellent Programme (GrEP), Professional Development Programme (Pro-P) turut menawarkan peluang kepada anak-anak Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Sejak 2010, seramai 131 belia Orang Asli sudah mendapat manfaat daripada kerjasama ini.

" Bukan hanya di institusi pendidikan luar negara, kerjasama strategik seumpama ini turut dijalinkan dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan seperti Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan Kolej Felcra bagi memberi lebih pilihan kepada pelajar Orang Asli," katanya.

Beliau berkata, bagi pelajar yang memilih untuk melanjutkan pembelajaran di dalam bidang kemahiran, KPLB turut menawarkan program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat Orang Asli.

"Saya turut mengalu-alukan belia Orang Asli untuk menyertai TVET bagi melahirkan belia yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi.

"Untuk tahun 2022, sejumlah 679 belia Orang Asli sudah mengambil inisiatif untuk menyambung pengajian di institusi TVET dalam pelbagai bidang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.

"Saya percaya 76 anak Orang Asli yang berada di hadapan saya ini adalah hasil daripada usaha gigih anda semua dan memberikan 110 peratus untuk masa hadapan. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada ibu bapa, guru-guru dalam memberikan sokongan dan dorongan sehingga mencapai keputusan yang membanggakan," katanya.

Selain itu, katanya, KPLB sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meningkatkan capaian Internet di perkampungan Orang Asli, sekolah-sekolah Kemas dan perkampungan di pedalaman.

Bersempena majlis MAMCOA 2021 hari ini, seramai 76 pelajar cemerlang SPM 2021 yang diraikan turut membawa pulang sijil dan wang tunai sebagai insentif bagi menghargai usaha memberikan yang terbaik dalam peperiksaan itu.

Sementara itu, Sapiah berkata pihak Jakoa sudah mengatur pelbagai aktiviti dan program pendidikan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar mengenai kepentingan pendidikan.

Menurutnya, antara aktiviti dan program yang dianjurkan Jakoa ialah kelas motivasi, Program Literasi Fungisan Orang Asli (PLFOA), Kelas Komuniti (KPM dan Kemas).

"Saya percaya dengan pelan pendidikan yang memberi fokus kepada pembangunan kemahiran insaniah, sikap dan akhlak mampu melahirkan insan yang mempunyai ilmu serta berkemahiran tinggi. Individu yang mempunyai sikap, pemikiran dan jatidiri yang tinggi mampu menawan dunia.

"Percayalah, masyarakat Orang Asli boleh menguasai peringkat global, jika kita berada pada pemikiran, kefahaman dan halatuju kehidupan yang jelas dan betul. Anak-anak masyarakat Orang Asli terutamanya di luar bandar dan pedalaman perlu diasuh melalui sistem pendidikan terbaik dan jadikan mereka insan baharu yang akan mengubah corak kehidupan masyarakat Orang Asli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 4:20 PM