GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan lebih 80,000 pengunjung melayari portal e-Ekspo TVET@KPLB 2021 dan media sosial kementerian yang akan bersiaran secara langsung bermula esok hingga Sabtu (29 Sept-2 Okt).

KPLB dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2021 atau dikenali sebagai e-Ekspo TVET@KPLB 2021, sekali lagi dilaksanakan secara dalam talian selain dijangka mampu menarik lebih ramai penyertaan terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Menurut KPLB, penganjuran e-Ekspo itu bertujuan mempromosikan kesedaran kepada masyarakat khususnya pelajar dan belia mengenai peluang pendidikan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau latihan kemahiran yang disediakan institusi TVET di bawah kementerian itu.

e-Ekspo tersebut mengekalkan tema TVET@KPLB, Pilihan Kemahiran Anda dengan tanda pagar Saya Budak TVET.

"Sesuai dengan temanya, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai segmen menarik seperti forum dan seminar, video kemahiran serta pelbagai penawaran program atau kursus bidang kemahiran TVET yang disediakan institusi TVET@KPLB," menurut kenyataan itu.

KPLB memaklumkan sehingga 31 Ogos lalu, 14,238 pelajar baharu mendaftar dan memulakan pengajian di Institusi TVET@KPLB, manakala bilangan pelajar sedia ada sehingga tempoh yang sama adalah 48,558 pelajar dengan kebolehpasaran siswazah mencapai purata 86.59 peratus.

Menurut KPLB, statistik itu membuktikan kualiti pembelajaran di Institusi TVET@KPLB adalah relevan dan kompetitif dalam membekalkan komuniti siswazah serta pekerja mahir yang diperlukan industri.

KPLB juga yakin e-Ekspo itu menjadi satu daripada instrumen promosi bagi menyebarluaskan peluang pengajian serta kerjaya, seterusnya meningkatkan taraf hidup masyarakat terutama di luar bandar khususnya golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia serta belia mendapat latihan kemahiran dan teknikal.

"KPLB yakin lebih banyak peluang pekerjaan berasaskan teknikal dan vokasional akan diwujudkan selain memastikan lebih banyak pendapatan dapat dijana selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam memastikan taraf hidup 'Keluarga Malaysia' dapat ditingkatkan," menurut kenyataan itu.

e-Ekspo TVET@KPLB 2021 boleh dicapai menerusi platform utama iaitu portal https://ekspotvet.rurallink.gov.my/ yang juga boleh diakses di laman sesawang kementerian, selain media sosial rasmi KPLB di laman Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan TikTok.

– BERNAMA

TAG: KPLB, TVET, ekspo, portal, dalam talian

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 3:46 PM