ILMU kemahiran membuka peluang pekerjaan yang meluas kepada pelajar dan belia.
ILMU kemahiran membuka peluang pekerjaan yang meluas kepada pelajar dan belia.
Suliati Asri


PROGRAM Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sinar baharu kepada negara kerana proses pendidikannya lebih menuju ke arah industri yang memerlukan tenaga kerja terlatih serta berkemahiran tinggi.

Ia proses pendidikan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan terhadap amalan industri bagi menghasilkan tenaga kerja kompeten dalam bidang tertentu.

Justeru itu, semua pelajar dan golongan muda terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

perlu merebut peluang berkenaan untuk mempelajari kemahiran dalam satu bidang khusus sebagai persediaan pekerjaan serta kemahiran yang boleh menjadi penyelamat keadaan yang mencabar kini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pendidikan asas di sekolah terbahagi kepada dua segmen iaitu pendidikan formal membabitkan aliran sains, kesusasteraan dan akaun.Satu segmen lagi katanya, ialah TVET iaitu pembelajaran yang membabitkan latihan serta teknikal.

"Teknikal ini satu bidang yang sangat luas lebih-lebih kini seluruh dunia bercakap mengenai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan membuatkan landskap pekerjaan dunia berubah.

"Oleh kerana itu, pada saya apa yang penting sekarang ini ialah bagaimana TVET menyumbang sejumlah pekerjaan kepada rakyat dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mempromosikan peluang pendidikan TVET disediakan oleh institusi TVET di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi e-Ekspo TVET@KPLB 2021 yang akan berlangsung pada 29 September hingga 2 Oktober ini.

Menurutnya, apabila pelajar dan belia didedahkan kepada bidang teknikal lebih awal, ia menjadi laluan kerja yang meluas bagi memenuhi keperluan industri.

"Di Majlis Amanah Rakyat (MARA) misalnya, kita mempunyai GIATMARA yang memberi kursus kemahiran kepada pelajar, mereka kemudian boleh meneruskan pengajian di Institut Kemahiran Mara (IKM) dan seterusnya ke melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Institusi Pendidikan MARA yang lain seperti German-Malaysian Insitute (GMI) atau Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang juga menawarkan kursus teknikal.

"Dengan pelbagai bidang yang boleh dipilih termasuklah perkapalan, penerbangan, fesyen, digital serta gas dan minyak, peratusan untuk mendapatkan pekerjaan itu tinggi," katanya.

Mahdzir berkata, walaupun zaman sudah moden, masih ada segelintir masyarakat ragu-ragu dengan institut kemahiran walhal itulah yang kini dilihat memberi peluang pekerjaan meluas dan pendapatan lumayan berbanding pendidikan arus perdana.

Malah katanya, ada segelintir masyarakat masih memandang TVET ini sebagai pilihan terakhir. Beliau berkata, dulu masyarakat berpendapat pelajar yang tidak lulus peperiksaan akan dimasukkan ke sekolah vokasional manakala yang lulus ke asrama penuh.

"Tetapi hari ini, terbukti TVET sebenarnya sangat penting kerana kurikulum TVET dan industri sepadan serta mudah mendapat kerja dengan gaji lumayan, masyarakat sudah mula melihat kelebihan TVET.

"Kejayaan dan kecemerlangan alumni dan ikon TVET serta pensijilan dan diploma yang diiktiraf juga membuatkan TVET ini semakin kuat.

"Justeru, mereka di luar sana tak perlu takut memilih bidang kemahiran dan jangan memandang rendah TVET ini satu bidang yang bukan arus perdana kerana hakikatnya, ia adalah bidang arus perdana kini," katanya.

Menurutnya lagi, untuk penganjuran kedua e-Ekspo secara dalam talian dengan menggunakan pendekatan promosi secara meluas melalui platform media sosial rasmi KPLB, kementerian itu menyasarkan 80,000 pengunjung di portal e-Ekspo dan media sosial rasmi kementerian.

Menurutnya, dengan promosi melalui Facebook (https://www.facebook.com/kplbofficial/), Instagram (kplb_gov), Twitter (kplb_gov), Youtube (KPLB_GOV official) dan TikTok (#kplb) serta Portal e-Ekspo TVET@KPLB 2021 (https://ekspotvet.rurallink.gov.my/), beliau berharap ramai kumpulan sasaran iaitu pelajar dan belia mencapai maklumat ini secara maya.

"Adalah diharapkan generasi muda yang lebih cenderung kepada penggunaan gajet dan aplikasi media sosial dapat mengakses kepada pengisian e-Ekspo dengan lebih mudah di hujung jari.

"Saya juga berharap objektif mempromosikan kesedaran kepada masyarakat khususnya pelajar dan belia mengenai peluang dalam pendidikan TVET atau latihan kemahiran yang disediakan oleh Institusi TVET di bawah KPLB dapat dicapai," katanya.

Mahdzir berkata, di seluruh dunia, TVET kini menjadi agenda penting untuk setiap negara dan ramai orang muda berminat menceburi bidang digital.

"Kebanyakan industri kini berpindah secara perlahan-lahan dari konvesional kepada teknologi maklumat dan kini ke satu tingkat yang lebih tinggi iaitu digital.

PERAGAAN kostum dari pelajar fesyen yang menampilkan keunikan dalam rekaan masing-masing.
PERAGAAN kostum dari pelajar fesyen yang menampilkan keunikan dalam rekaan masing-masing.

"Bidang ini sememangnya menjadi kuat dan akhirnya nanti semua perkara yang berlaku kepada manusia ada kaitan dengan digital."

"Jadi, kepada anak muda kalau ada kemahiran dan keupayaan untuk belajar, usahakanlah untuk berkemahiran berkaitan hal digital ini," katanya.

Pada masa sama, Mahdzir berharap ramai dikalangan anak muda Malaysia berminat dan terus berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan sesuatu kemahiran.

"Dapat satu kemahiran saja pun sudah cukup. Kemahiran dalam bidang kereta, industri, gas dan minyak, pelancongan dan apa juga bidang kemahiran."

"Dengan kemahiran yang ada itu, mereka boleh mendapatkan pekerjaan. Itulah harapan saya," katanya.

Penganjuran Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2021 atau dikenali sebagai e-Ekspo TVET@KPLB 2021 sekali lagi dilaksanakan secara dalam talian sebagai sebahagian daripada norma baharu selain dijangka mampu menarik lebih ramai penyertaan terutama daripada masyarakat luar bandar.

Pada tahun ini e-Ekspo masih megekalkan tema TVET@KPLB, Pilihan Kemahiran Anda dengan hashtag Saya Budak TVET.

Sesuai dengan temanya, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai segmen menarik seperti forum dan seminar, video kemahiran dan pelbagai penawaran program atau kursus bidang kemahiran TVET yang disediakan oleh institusi TVET@KPLB.

Manakala hashtag Saya Budak TVET pula dipilih sebagai usaha kementerian itu dalam penerapan identiti serta kebersamaan pelatih TVET di seluruh negara yang memilih bidang latihan kemahiran sebagai laluan pendidikan dan kerjaya masing-masing.

Sudah lebih setengah abad terbabit dalam program TVET di mana bermula dengan penubuhan Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin di bawah Mara pada tahun 1968 untuk menawarkan latihan kemahiran, kini KPLB memiliki bilangan institusi pendidikan TVET yang terbesar dengan 279 institusi dan menawarkan pelbagai program dan kursus kemahiran.

Kursus dan program yang ditawarkan pula meliputi 15 kluster bidang iaitu Keusahawanan/ Teknousahawan; Fesyen & Pakaian; Kecantikan & Dandanan Rambut; Kulinari/ Pelancongan/ Hospitaliti; Pertanian; Seni Reka & Multimedia Kreatif; Pengangkutan & Teknologi Logistik; Teknologi Maklumat & Komputer; Teknologi Bahan; Bioteknologi; Perubatan & Penjagaan Kesihatan; Minyak & Gas; Elektrik & Elektronik; Kejuruteraan Awam & Seni Bina; dan Mekanikal & Pembuatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 7:00 AM