EXCO Penerangan Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Ngwe Hee Sem bertanyakan harga jualan kepada peniaga Pasar Borong Jasin. FOTO NURALIAWATI SABRI
EXCO Penerangan Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Ngwe Hee Sem bertanyakan harga jualan kepada peniaga Pasar Borong Jasin. FOTO NURALIAWATI SABRI
Oleh Nuraliawati Sabri


Melaka: Sebanyak 200 premis di negeri ini berada di bawah pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan minyak masak bersubsidi termasuk menjualnya untuk tujuan komersial.

Exco Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, minyak masak peket ini sepatutnya dijual terus kepada pengguna dan bukannya disimpan sebelum menjualnya kepada pihak lain secara tempahan.

"Dalam pemerhatian KPDNHEP kini terdapat antara 100 hingga 200 premis membabitkan semua lapisan iaitu syarikat pemborong, pembungkus dan peruncit.

"Saya mohon kepada semua premis ini kalau masih berbuat demikian, berhenti sekarang kerana selepas ini tiada lagi alasan. Sekiranya kita ada bukti, serbuan akan diadakan dan kompaun dikeluarkan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pasar Borong Jasin, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, KPDNHEP sama sekali tidak membenarkan bekalan minyak masak peket dijual secara tempahan untuk pihak tertentu sahaja.

"Tidak adil apabila minyak bersubsidi ini dibeli oleh pihak restoran. Contohnya jika saya peniaga komersial, boleh beli tetapi daripada segi akta sudah salah.

"Kita memandang serius tindakan peruncit yang mengamalkan 'booking' kepada kenalan untuk tujuan komersial mahupun restoran. Jika kita kesan ada terjadi, tindakan akan diambil," katanya.

Beliau berkata, selain melakukan pemeriksaan ke premis, KPDNHEP turut mengadakan audit dan pemutihan bagi mengesan kebocoran dan memastikan pengedaran sampai ke pengguna.

Sementara itu, Hee Sem berkata, sepanjang Ops ATM (Ayam, Telur, Minyak Masak) bermula 23 Jun lalu, sebanyak 69 premis pelbagai peringkat di seluruh Melaka sudah diperiksa namun tiada sebarang kompaun dikeluarkan KPDNHEP.

"Untuk aktiviti pemeriksaan bermula awal tahun hingga hari ini (semalam), sebanyak 240 kes dikesan termasuk kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 1:02 PM