SUHANA (kiri) bercakap sesuatu kepada Zalinawati (tengah) sambil diperhatikan Siti Norsuria. FOTO Hadzlan Hassan
SUHANA (kiri) bercakap sesuatu kepada Zalinawati (tengah) sambil diperhatikan Siti Norsuria. FOTO Hadzlan Hassan
Hadzlan Hassan


Ampang: Seorang wanita yang runsing memikirkan nasib keluarga selepas suaminya diserang angin ahmar untuk kali kedua baru-baru ini, menarik nafas lega selepas menerima kunjungan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Nation Of Women (Now) semalam.

Zalinawaty Zaini, 37, bersyukur apabila wakil pertubuhan itu sedia membantu menguruskan urusan permohonan bantuan di agensi kerajaan berkaitan selain menyerahkan barangan keperluan buat keluarga berkenaan.

Setakat ini, NGO berkenaan yang diwakili Exco Kebajikan Nasional, Suhana Roshandin dan Exco Nasional, Siti Norsuria Turano bersedia meringankan beban jangka pendek dan panjang keluarga itu untuk menghadapi sesi persekolahan akan datang.

Suhana berkata, pihaknya akan menyediakan kelengkapan persekolahan anak keluarga berkenaan selain membantu menguruskan tuntutan dengan agensi kerajaan berkaitan.

"Saya difahamkan ketua keluarga ini, iaitu Mohd Azman Adnan, 49, diserang angin ahmar kira-kira seminggu lalu dan sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu, kami menziarahi keluarga ini.

"Bagaimanapun ketua keluarga ini tiada di rumah kerana sedang menjalani fisioterapi di hospital dan kita akan memantau tahap kesihatan beliau sementara membantu urusan keluarganya," katanya.

Untuk jangka panjang katanya, NOW akan menyediakan bantuan perniagaan membabitkan kelas bimbingan pemasaran secara atas talian selain menyediakan modal perniagaan untuk membantu keluarga berkenaan.

"Saya difahamkan ketua keluarga ini sudah dua kali diserang angin ahmar dan ia pastinya mengambil masa untuk kembali pulih," katanya.

Dalam kunjungan ke rumah keluarga itu semalam, NOW menyerahkan sumbangan berbentuk keperluan dapur dan sedikit wang tunai untuk perbelanjaan keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 4:04 PM