GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiada laporan harian khusus mengenai Covid-19 antara faktor menyebabkan orang ramai mula alpa dengan pandemik itu.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, faktor itu juga menjadikan orang ramai sudah mula menjalani kehidupan normal seperti sebelum berlaku Covid-19.

"Kita kena akui dalam memasuki fasa endemik, orang ramai sudah mula menjalani kehidupan normal dengan melakukan pelbagai aktiviti termasuk bersesak di konsert dan menonton bola sepak.

"Bagaimanapun kita juga sudah menjangkakan pembukaan banyak sektor dan aktiviti sosial menyumbang kepada kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 20 peratus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, peningkatan kes ini seiring dengan kebenaran semua aktiviti sosial dan sukan termasuk kelab malam yang sudah mula dibuka.

"Kita khilaf dan lupa ikut prosedur operasi standard (SOP) dan lebih merisaukan tidak memakai pelitup muka yang seharusnya masih diperlukan sekarang.

"Malah saya akui tiada pelaporan harian Covid-19 juga membuatkan orang ramai sudah lupa dan tidak fokus kepada virus ini lagi," katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan secara keseluruhan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 10 peratus pada minggu epidemiologi (ME) ke-23.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 20 peratus.

"Jumlah pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 33.3 peratus manakala kategori 3, 4 dan 5 meningkat 9 peratus.

"Untuk makluman, kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan penurunan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 4,524,727 kumulatif kes baharu direkodkan antara 25 Januari hingga 11 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 3:41 PM