GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan secara keseluruhan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun 10 peratus pada minggu epidemiologi (ME) ke-23.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 20 peratus.

"Jumlah pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 33.3 peratus manakala kategori 3,4,dan 5, meningkat sebanyak sembilan peratus.

"Untuk makluman, kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan penurunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 4,524,727 kumulatif kes baharu direkodkan antara 25 Januari hingga 11 Jun lalu.

"Dalam tempoh sama, 4,466,305 kumulatif kes sembuh, 35,711 kumulatif kematian dan

kumulatif kluster sebanyak 7,015 kluster.

"Selain itu, perbandingan antara ME 22/2022 dan ME 23/2022 menunjukkan bilangan kes sembuh pada ME 23/2022 menurun sebanyak 21.7 peratus (13,797 kes kepada 10,806 kes).

"Manakala bilangan kes baharu pada ME 23/2022 meningkat sebanyak 0.4 peratus (11,052 kes kepada 11,096 kes)," katanya.

Menurutnya, bilangan kes tempatan meningkat sebanyak 0.5 peratus (11,022 kes kepada 11,076 kes) kes import menurun sebanyak 33.3 peratus (30 kes kepada 20 kes).

"Berdasarkan kes kematian pada ME 23/2022 menunjukkan penurunan kepada 3.8 peratus (26 kes kepada 25 kes).

"Bagi purata kes aktif setiap hari bagi ME 23/2022 adalah 22,013 kes iaitu terdapat penurunan sebanyak 5.5 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 12:17 PM