Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Penularan Covid-19 secara keseluruhannya terus mencatatkan trend penurunan dengan jumlah kumulatif berkurangan sebanyak 17.9 peratus daripada 63,722 kes pada minggu epidemiologi (ME) 40 kepada 52,321 kes pada ME 41.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, purata kadar insiden bagi tempoh tujuh hari juga mencatatkan penurunan sebanyak 20.9 peratus iaitu daripada 248 kes per 100,000 penduduk pada ME 40 kepada 196 kes per 100,000 penduduk pada ME 41.

Katanya, KKM turut mengunjurkan purata sebanyak 7,576 kes harian dicatatkan dalam lima hari akan datang iaitu antara 18 hingga 22 Oktober depan.

"Walaupun pengurangan jumlah kumulatif Covid-19 kes dicatatkan di peringkat nasional pada ME 41, namun tiga negeri mencatatkan peningkatan jumlah kes iaitu Kuala Lumpur (7.8 peratus), Putrajaya (3.3 peratus), dan Negeri Sembilan (4.1 peratus).

"Tiga negeri turut melaporkan peningkatan purata kadar insiden bagi tempoh tujuh hari pada ME 41 berbanding ME 40, iaitu Putrajaya (13.9 peratus), Negeri Sembilan (9.4 peratus) dan Perlis (2.7 peratus)," katanya pada sidang media secara hibrid, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengenai trend kematian, Khairy berkata, sehingga 16 Oktober lalu, jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 adalah 27,858 kes atau 1.17 peratus.

Khairy berkata, sebanyak 593 jumlah kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada ME 41 dengan purata 85 kematian sehari, penurunan sebanyak 15.3 peratus berbanding ME 40.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, trend penurunan kes kematian akibat Covid-19 mula direkodkan sejak lima minggu lalu iaitu bermula pada ME 36.

Katanya, secara amnya, kadar penggunaan fasiliti kesihatan (katil bukan unit rawatan rapi (ICU), katil ICU dan PKRC) didapati semakin menurun dengan peningkatan liputan vaksin.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Menurutnya, kadar penggunaan katil dan ventilator secara keseluruhannya terus menunjukkan tanda pemulihan pada ME 41 iaitu penurunan antara 0.3 peratus dan 7.9 peratus.

"Penggunaan katil bukan ICU (65 peratus pada ME 41 berbanding 65.2 peratus pada ME 40); penggunaan katil ICU (61.8 peratus pada ME 41 berbanding 63.4 peratus pada ME 40.

"Penggunaan ventilator (25 peratus pada ME 41 berbanding 27.1 peratus pada ME 40), manakala bilangan katil yang diperuntukkan untuk merawat kes-kes Covid-19 mula diturunkan secara berfasa," katanya.

Khairy berkata, di peringkat kebangsaan, bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan kian menurun dari minggu ke minggu yang mana kategori pesakit 1 dan 2 serta 3, 4 dan 5 juga didapati semakin menurun.

Bagaimanapun beliau berkata, penggunaan katil bukan ICU dan katil ICU di Sarawak, Selangor dan Kelantan masih melebihi 60 peratus.

"Tahap penggunaan katil di Pulau Pinang dan Perak juga masih melebihi 50 peratus.

"Pada masa sama, graf jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam di Selangor dan Putrajaya mula menunjukkan trend meningkat selepas kebenaran merentas negeri diberikan pada 11 Oktober lalu.

"Situasi sama dapat dilihat di Sarawak terutama bagi pesakit kategori 3, 4 dan 5 selepas kebenaran rentas negeri diberikan. Data adalah bagi per 100,000 populasi," katanya.

Menurutnya, begitu juga trend kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 ke hospital awam di Zon Selatan yang mana Negeri Sembilan mula menunjukkan trend meningkat bermula ME 40.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 7:07 PM