GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Peniaga telur ayam di bandar ini berdepan masalah kekurangan bekalan sehingga 50 peratus sejak awal bulan ini.

Seorang peniaga, Tan Lian How, 46, berkata, biasanya stok yang dipesan mampu bertahan dua hari namun sejak kebelakangan ini hampir setiap hari dia perlu mendapatkan bekalan baharu bagi memenuhi keperluan pelanggan.

"Sebelum ini setiap hari ada satu atau dua lori (pembekal telur) hantar sudah cukup tetapi sekarang tiga atau empat lori datang baru (bekalan) cukup.

"Ada hari lori langsung tidak hantar jadi kami terpaksa ambil sendiri. Buang masa kerana perlu pergi banyak tempat seperti di Nibong Tebal selain Kulim, Kedah," katanya ketika ditemui di Pasar Awam Bayan Baru dekat sini, hari ini.

Menurutnya, telur ayam bersaiz kedua paling besar iaitu gred AA kini sukar didapati dalam kuantiti banyak sejak dua minggu lalu dan ia dijual pada harga kawalan 52 sen sebiji manakala gred AAA berharga 54 sen sebiji.

"Jika kami pesan satu-satu gred telur misalnya 160 papan kami cuma dapat 80 papan sahaja dan lebih kurang semua pembekal akan buat perkara sama.

"Tapi pada peringkat kami sebagai peniaga, tiada catuan dibuat. Kalau pelanggan hendak beli banyak tiada masalah," katanya.

Seorang lagi peniaga yang ingin dikenali sebagai Yan, 42, mengakui bekalan telur agak berkurangan pada masa ini namun perkara itu tidak begitu menjejaskan perniagaan keluarganya.

"Bekalan telur memang kurang tapi masih mencukupi bagi kami kerana kami berniaga kecil-kecilan sahaja. Setakat ini telur ayam gred B alami kekurangan bekalan di kedai kami.

"Saya harap kerajaan teliti semula harga kawalan telur sejak Februari lalu hingga 30 Jun ini kalau boleh dinaikkan sedikit kerana kami cuma dapat untung purata kira-kira 2 sen sebiji. Barang seperti plastik pun sudah naik harga selain perlu menanggung pelbagai kos termasuk sewa premis dan upah pekerja," katanya.

Tinjauan harga pasaran telur ayam mendapati ia dijual mengikut harga kawalan iaitu 43 sen bagi gred A, 41 sen (gred B) serta 39 sen (gred C) manakala harga telur ayam kampung mencecah 70 sen sebiji dan telur burung puyuh berharga 30 sen sebiji.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 3:40 PM