GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


SEBANYAK 17 majikan dikenakan kompaun berjumlah RM20,500 dalam Ops Kesan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Kuantan, Isnin lalu.

Daripada jumlah itu, 15 majikan dikesan gagal mendaftarkan pekerja mereka mengikut Seksyen 14 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (AKSP).

Dua lagi majikan, masing-masing satu kes mengikut Seksyen 4 AKSP kerana gagal mendaftar perusahaan manakala satu kes lagi gagal mendaftar pekerja mengikut Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar berkata, operasi itu membabitkan beberapa kawasan di sekitar pusat bandar, Taman Gelora, Tanjung Lumpur, Sungai Isap dan Indera Mahkota.

Katanya, operasi selama empat jam yang bermula 10 pagi itu memeriksa sebanyak 99 majikan dan daripada jumlah itu, 17 majikan didapati melakukan kesalahan.

“Oleh itu, kami mengeluarkan 17 kompaun yang keseluruhan berjumlah RM20,500 kerana mereka didapati ingkar dan tidak patuh terhadap peraturan yang dikuatkuasakan,” katanya.

Ops Kesan itu turut mendapat kerjasama pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Pahang.

Tarmizi berkata, sebelum operasi itu dilakukan, PERKESO Pahang memberi tempoh sebulan iaitu tempoh pemutihan kepada majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sepanjang Mac lalu.

Katanya, majikan yang mendaftar dalam tempoh pemutihan itu akan dikecualikan daripada dikenakan kompaun.

“Ini menunjukkan PERKESO masih lagi memberi peluang kepada majikan untuk mendaftar secara sukarela iaitu mendidik majikan untuk menjaga kebajikan pekerjanya mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Namun, jika majikan masih berdegil kita tidak akan berkompromi dan mereka juga berdepan kemungkinan untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 11:54 AM