DUA lori yang membawa 58 tong berisi minyak petrol disita dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Batu 32, Sandakan. FOTO ihsan PGA
DUA lori yang membawa 58 tong berisi minyak petrol disita dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Batu 32, Sandakan. FOTO ihsan PGA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tiga individu termasuk seorang remaja warga asing ditahan selepas didapati terbabit dalam aktiviti menyeludup minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Batu 32, Sandakan, semalam.

Operasi 1.30 pagi itu dilakukan anggota Tiger Platon Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota Task Force Perisikan Batalion 15 PGA Sandakan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pasukan operasi mengesan terdapat kegiatan pengisian minyak petrol bersubsidi secara tidak sah.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya membuat pemerhatian selama tempoh 30 minit di stesen minyak berkenaan.

"Hasil pemerhatian membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 19 hingga 36 tahun, membabitkan dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

"Pasukan operasi terus merampas dua lori yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengendalikan minyak petrol bersubsidi secara tidak sah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua tangkapan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk laporan polis.

Katanya, semua suspek seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya.

"Semua rampasan membabitkan dua lori tiga bersama 58 tong biru membabitkan 4,400 liter minyak petrol.

"Anggaran nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan sebanyak RM109,020 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 10:02 AM