Sindiket memindahkan petrol untuk diseludup ke kapal di Pangkalan Sungai Pegagau, Semporna kelmarin. Foto Ihsan PGA
Sindiket memindahkan petrol untuk diseludup ke kapal di Pangkalan Sungai Pegagau, Semporna kelmarin. Foto Ihsan PGA
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Satu sindiket penyeludupan petrol ke negara jiran berjaya ditumpaskan dalam serbuan di Pangkalan Sungai Pegagau, Semporna kelmarin.

Serbuan yang dijalankan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah itu berjaya merampas sebanyak 680,200 liter petrol bernilai RM5.5 juta.

Komander Briged PGA Sabah Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat, Pegawai Koordinasi Operasi Khas CPSK Bukit Aman bersama pegawai dan anggota Batalion 14 PGA Tawau menjalankan risikan sebelum serbuan dilakukan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebaik serbuan dijalankan, pasukan operasi berjaya menahan tujuh individu yang sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak.

"Semua individu yang ditahan berusia lingkungan 26 hingga 42 tahun yang terdiri daripada kru kapal dan pemandu lori.

"Hasil pemeriksaan, semua minyak yang dirampas membabitkan sebanyak 680,200 liter petrol bernilai RM5,523,410," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 11:40 AM