MINUMAN keras tanpa cukai yang dirampas PGA dalam Op Kontraban di KKIP Timur, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PGA
MINUMAN keras tanpa cukai yang dirampas PGA dalam Op Kontraban di KKIP Timur, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PGA
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sebuah kontena berisi minuman keras tidak bercukai bernilai RM475,883 dirampas dalam operasi Op Kontraban di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Timur, di sini, kelmarin.

Dalam operasi dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Tiger Platon Batalion 16 dan cawangan perisikan Ibu Pejabat Briged Sabah pada 10 malam itu, kontena berkenaan dikesan ditinggalkan bersama sebuah lori treler dalam keadaan berkunci tanpa penjaga.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan berdasarkan kepada maklumat awam.

Katanya, selepas pemerhatian selama tiga jam, pasukan operasi melakukan serbuan dan membuka kontena berkenaan untuk pemeriksaan sebelum menemui 1,890 karton minuman keras jenama Cool Beer disyaki tidak bercukai bernilai RM475,883.

"Semua minuman keras berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

"Keseluruhan rampasan termasuk lori treler dan kontena dianggarkan bernilai RM595,833 berdasarkan harga pasaran semasa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 12:28 PM