ANTARA rokok seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
ANTARA rokok seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
Ahmad Hasbi


Seremban: Rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Megah, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Batalion 6 PGA Muar, dalam operasi Op Kontraban bermula 4.45 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Rasdi Ariffin berkata, dalam serbuan itu juga pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dengan kegiatan jenayah itu.

"Hasil pemeriksaan di dalam dua kenderaan jenis Toyota Unser dan Hyundai menjumpai beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi rokok seludup pelbagai jenis.

"Pemeriksaan lanjut di dalam premis turut menjumpai beberapa kotak yang mengandungi rokok seludup," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal premis itu digunakan sebagai stor tempat penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan kepada pembeli.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM 318,738. Serbuan ini berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket pengedaran dan penjualan rokok seludup di kawasan Seremban.

"Kes disiasat mengikut Akta kastam 1967 dan suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan," katanya.

Aduan atau maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline 06-9866121 ext 3030 Pejabat Risik/ Gerakan Batalion 6 Pasukan Gerakan Am.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 6:30 PM