PEMANDU lori dan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis Taman Berlian, Batu Pahat. FOTO Ihsan PGA
PEMANDU lori dan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis Taman Berlian, Batu Pahat. FOTO Ihsan PGA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori yang mengambil upah menghantar rokok seludup ditahan bersama lebih 800,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM1.19 juta dalam serbuan di premis di Taman Berlian, Batu Pahat, Johor, Jumaat lalu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Deputi Superintendan Salehin Suleiman berkata, dalam serbuan Operasi Kontraban 4.30 petang itu, pihaknya menahan lelaki berusia 22 tahun.

"Hasil pemeriksaan dilakukan kami menemui sebuah lori jenis Hicom dan sebuah van jenis Toyota Hiace yang mengandungi kotak berwarna coklat mengandungi pelbagai jenis rokok disyaki rokok seludup.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 884,400 batang rokok seludup pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1.19 juta," katanya dalam kenyataan, semalam.

Salehin berkata, siasatan awal dilakukan mendapati suspek adalah pemandu lori yang mengambil upah untuk menghantar rokok seludup ke lokasi ditetapkan.

"Dengan tangkapan ini, kami berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tanpa cukai di sekitar Batu Pahat dan Muar, Johor.

"Suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Johor dan direman selama 14 hari untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau berkata, Batalion 6 PGA berjaya melancarkan 13 serbuan Operasi Kontrabandi sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bagi tempoh Januari lalu hingga semalam.

"Hasil serbuan dilakukan, kami menahan seramai 32 individu berusia antara 17 tahun hingga 56 tahun yang terbabit dengan aktiviti penyeludupan membabitkan barang kontraban.

"Antara barang yang dirampas adalah rokok tidak bercukai, minuman keras, dadah, mercun dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM6.7 juta," katanya.

Beliau turut menyeru orang awam supaya dapat menjadi mata dan telinga polis dalam menghulurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan.

"Polis melalui PGA secara khususnya akan meneruskan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan serta ketenteraman negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:40 PM