Rafizi.
Rafizi.
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Keputusan rasmi pemilihan PKR akan diumumkan pada 25 Jun dan 26 Jun depan iaitu ketika berlangsungnya Kongres Nasional PKR 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan yang akan diumumkan pada kongres adalah yang muktamad.

"Mulai semalam, keputusan tidak rasmi cabang-cabang akan dipamerkan di laman sesawang Pemilihan Keadilan 2020 seperti mana yang sudah dijadualkan.

"Keputusan yang diumumkan ini masih tertakluk kepada keputusan aduan dan bantahan yang sudah diterima oleh JPP yang masih dalam proses siasatan oleh Panel Aduan JPP.

"Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres PKR yang dijadualkan akan berlangsung pada 25 Jun dan 26 Jun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Kongres sayap PKR, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR dijadualkan berlangsung pada 25 Jun sementara sehari selepas itu adalah kongres nasional.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menang jawatan Timbalan Presiden PKR, menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Rafizi yang menguasai keseluruhan undian di semua negeri kecuali Sabah dan Perlis, memperoleh 68,992 undi, mengatasi Saifuddin yang memperoleh 50,038 undi.

Sementara bagi saingan Naib Presiden PKR pula, dimenangi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Amiruddin yang meperoleh undian tertinggi di Selangor, memperoleh 52,845 undi keseluruhan, diikuti Lih Kang (41,290 undi), Nik Nazmi (40,506 undi) serta 38,894 undi diperoleh Aminuddin.

Bagi saingan Ketua AMK, dimenangi bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang memperoleh 13,650 undi, mengatasi pesaingnya, Fahmi Zainol, memperoleh 11,888 undi.

Sementara bagi jawatan Ketua Wanita PKR pula, dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, yang memperoleh 21,962 undi, mengatasi pencabarnya dengan majoriti tipis iaitu 400 undi atau 21,562 undi keseluruhan yang diperoleh Ahli Dewan Negara, Senator Fadlina Sidek.

Dalam pemilihan kali ini, beberapa pemimpin kanan tewas dalam saingan merebut jawatan Naib Presiden PKR antaranya termasuk Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd Akin, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil Mohamed Fadzil, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid serta Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Tumpuan selepas ini adalah pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, dimana pencalonannya sudah dibuka secara dalam talian sejak semalam sehingga Selasa ini.

Berdasarkan takwim Pemilihan PKR 2022, proses pengundian dan keputusan bagi 20 jawatan AMK dan wanita dijadualkan berlangsung pada Kongress AMK dan Wanita pada 24 Jun ini, manakala pengundian dan keputusan bagi 20 jawatan MPP pada Kongres Nasional pada 25 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 3:38 PM