FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Affan Rostam


Sungkai: Harimau Malaya simbol kebangsaan, namun malangnya haiwan itu atau nama saintifiknya, Panthera Tigris Jacksoni semakin pupus dan jumlahnya pada tahap membimbangkan berikutan aktiviti pemburuan haram sehingga mengakibatkan kemusnahan habitat spesies itu.

Dilaporkan jumlahnya kurang daripada 150 ekor dan kemungkinan besar ia boleh pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi sekiranya tiada usaha secara komprehensif dan proaktif dilakukan.

Melihatkan angka itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berusaha menjalankan pelbagai inisiatif dalam usaha membendung kepupusan Harimau Malaya terutama di semenanjung.

Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Perhilitan Datuk Fakhrul Hatta Musa berkata, antara usaha yang dilakukan oleh badan itu adalah dengan menjalankan proses pembiakan Harimau Malaya sebelum melepaskan spesies itu ke habitat asalnya.

"Kita memang ada buat proses pembiakan dan memang itu tujuan kita. Ada beberapa kawasan yang kita tutup agar Harimau Malaya ini tidak terganggu (semasa proses pembiakan).

"Dalam tahun ini juga akan dibuka satu lagi pusat di Lanchang iaitu Tiger Conservation Centre dalam usaha pembiakan spesies ini.

"Akhir sekali kita akan lepaskan ke habitat yang asal (apabila mencapai bilangan sesuai)," katanya dalam program Selamatkan Harimau Malaya di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Majis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan beberapa atlet negara seperti pesilat, Al-Jufferi Jamari dan jaguh bina badan, Syarul Azman Mahen Abdullah (Mike) serta ramai lagi.

Shapawi turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Perhilitan sebagai tanda sokongan terhadap usaha Kempen Selamatkan Harimau Malaya di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 4:16 PM