Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Kami sangat lega jasad Yo akhirnya ditemui walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa, sekurang-kurangnya ada kuburnya," kata kakak Mohd Khairul Nizam Omar, pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan yang dilaporkan jatuh di Sungai Kelantan, Isnin lalu.

Mayat Mohd Khairul Nizam, 46, ditemukan terapung pada 12 tengah hari ini di dalam sungai di Kampung Penambang di sini, oleh orang awam.

Kamariati, 56, berkata, sebaik dihubungi oleh seorang lagi adiknya mengenai penemuan jasad lelaki lemas, hatinya berdebar dan berharap agar ia milik Mohd Khairul Nizam.

"Selepas adik membuat pengecaman di lokasi penemuan, sah jasad itu adalah Yo. Wajah dan fizikalnya tidak banyak berubah walau sudah empat hari hilang malah kelihatan seperti sedang tidur.

"Pakaiannya juga masih lengkap dan bajunya yang mempunyai logo jabatan turut menguatkan lagi itu adalah Yo sekali gus melegakan kami sekeluarga yang sekian lama menunggu berita.

"Puas hati akhirnya dapat melihat jasadnya walau ditemukan dalam keadaan begini (meninggal dunia) kerana kami sangat risaukan emak yang sudah uzur dan setiap hari memikirkan kehilangan adik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamariati berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Tendong, Pasir Mas bersebelahan dengan pusara bapanya pada malam ini.

Situasi di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, yang dipenuhi ahli keluarga mangsa serta kakitangan JIM kelihatan suram dan isteri mangsa, Fatihiyah Majid, 42, hampir pitam selepas dibawa masuk untuk proses pengecaman.

Mayat Mohd Khairul yang ditemukan di Sungai Kelantan di Kampung Penambang selepas terjun dari Jambata Isnin lalu, dibawa ke Unit Forensik HRPZ II untuk proses bedah siasat. FOTO Siti Rohana Idris
Mayat Mohd Khairul yang ditemukan di Sungai Kelantan di Kampung Penambang selepas terjun dari Jambata Isnin lalu, dibawa ke Unit Forensik HRPZ II untuk proses bedah siasat. FOTO Siti Rohana Idris

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan Zainal Madasin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat seorang lelaki pada 12 tengah hari.

"Mayat itu ditemukan kira-kira empat kilometer (km) daripada lokasinya dilihat kali terakhir.

"Hasil pengecaman yang dibuat ahli keluarga mengesahkan ia milik Mohd Khairul Nizam dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 3:50 PM