GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Nilai: Sehingga semalam, seramai 30 pelajar sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes buli yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah agama (SMA) berasrama penuh di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, manakala seramai enam pelajar yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan dikenakan perintah reman selama satu hari semalam.

"Sehingga kini terdapat empat laporan polis diterima berkait kes yang disiasat. Sehingga 2 petang semalam, seramai 30 orang pelajar sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Perintah reman terhadap enam pelajar berkenaan tamat semalam, dan pihak polis membebaskan mereka dengan jaminan," katanya.

Harian Metro pada 15 Mei melaporkan polis menerima tiga laporan mengenai pelajar tingkatan dua sebuah SMA berasrama penuh di daerah ini yang dipercayai dicederakan pelajar senior.

Tiga pelajar berusia 14 tahun itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana kecederaan di beberapa bahagian badan.

Mohd Fazley dilaporkan berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Berita berkaitan

Tiga pelajar dakwa dibuli senior

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 9:47 AM